Wednesday, June 3, 2009

Jangan Buta Sejarah Kerana Kepentingan Politik

TERNYATA sekali selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, isu-isu berkaitan dengan perkauman seolah-olah menjadi bahan paling laris bagi sesetengah pemimpin politik untuk menjajanya.
Bermula dengan sokongan kepada pertubuhan haram Hindraf, kini ia 'merebak' pula kepada isu menuntut kerajaan membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kembali ke tanah air.

Isu kepulangan bekas ketua pengganas itu pada mula hanya dibangkitkan oleh seorang pemimpin Parti Gerakan (salah satu komponen dalam Barisan Nasional) tetapi apabila ia dilihat mampu memberikan keuntungan politik maka parti-parti pembangkang pula menyokong saranan berkenaan.

Ternyata sekali, sokongan dan gesaan yang dibuat bukanlah atas dasar kemanusiaan tetapi disebabkan ada agenda politik tersembunyi. Justeru keputusan kerajaan menolak gesaan sebegitu adalah amat tepat. Puak-puak yang menyokong kepulangan Chin Peng ini hakikatnya sengaja meletakkan diri mereka untuk dianggap sebagai kelompok yang buta sejarah. Chin Peng adalah pengganas dan pernah mengepalai sekumpulan manusia melakukan pembunuhan dengan sewenang-wenangnya ke atas anggota keselamatan dan rakyat negara ini semata-mata untuk menegakkan perjuangan komunisnya.

Oleh itu, apakah dosa-dosa tersebut harus dilupakan begitu sahaja hanya semata-mata kerana berpendapat dia sudah uzur dan mahu mengakhiri riwayatnya di negara ini? Bagaimana dengan pembunuhan yang dilakukan olehnya sama ada secara langsung atau melalui arahan kepada pengikut-pengikutnya ketika zaman darurat dahulu.

Ingatlah Chin Peng adalah pengganas kejam yang membunuh ribuan rakyat negara ini, malah tanpa belas ihsan menyerang setiap sudut anggota keselamatan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Justeru mengapakah dengan mudah kekejamannya hendak dimaafkan begitu sahaja?

Dalam isu Chin Peng, soal kemanusiaan tidak harus sama sekali menjadi pertimbangan kerana dia sendiri suatu ketika dulu tidak mempunyai perasaan perikemanusiaan akibat taksub kepada perjuangan komunis. Justeru janganlah mengeluarkan hujah dangkal dengan mengatakan kerajaan boleh membenarkan Chin Peng pulang dengan syarat kerajaan memastikan dia sudah meninggalkan doktrin komunisnya.


Kalau itulah hujahnya, bagaimana jika sesiapa juga yang melakukan pembunuhan dan kini berada dalam penjara atau menanti hukuman mati boleh dibebaskan dengan syarat mereka ditanya, apakah mereka mahu membunuh lagi atau tidak?

Mungkin pihak-pihak terlibat menganggap ia suatu perbandingan tidak wajar tetapi apa istimewanya Chin Peng, bukankah dia juga adalah seorang pembunuh dan sudah banyak membawa kesengsaraan kepada negara ini. Memang benar Chin Peng uzur dan sakit tetapi sekurang-kurangnya dia masih insan yang tidak cacat anggota badannya.

Ini berbeza dengan ribuan anggota tentera yang kini masih hidup tetapi mengalami kecacatan sepanjang hayat akibat jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis dari Padang Besar hinggalah ke Tanah Merah, Kelantan.

Adakah ketika Chin Peng melakukan semua kekejaman berkenaan dia terfikir bahawa suatu hari kelak dia akan merempat dan mengemis untuk kembali ke tanah air bernama Malaysia ini? Kenapa Chin Peng perlu dilepaskan daripada segala perbuatan kejamnya?

Justeru kepada puak-puak yang masih mahu memperjuangkan Chin Peng ingatlah bahawa bekas ketua pengganas itu tidak mempunyai sekelumit pun jasa kepada negara ini. Daripada puak-puak yang buta sejarah itu memperjuangkan nasib Chin Peng adalah lebih baik jika mereka berusaha menggesa kerajaan mempertingkatkan lagi bantuan kepada bekas-bekas anggota tentera dan keluarga yang menjadi mangsa akibat kekejaman komunis.

Kalaupun hendak mencari keuntungan politik ia bukanlah melalui cara hendak memperjuangkan nasib seorang bekas ketua pengganas, banyak lagi insan-insan lain yang harus dibela. Kenapa perlu bercakap soal kepulangan Chin Peng sedangkan terdapat banyak lagi isu lain yang perlu diperjuangkan bagi memastikan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum hidup aman dan damai.

Percayalah, mungkin ada segelintir sahaja yang menyokong gesaan untuk membenarkan Chin Peng kembali tetapi terdapat jutaan lagi rakyat Malaysia menentang keras langkah tersebut. Puak yang menyokong itu adalah terdiri daripada mereka yang bukan sahaja buta sejarah tetapi berfahaman liberalisme, mereka tidak tahu apa itu komunis.

Apa pun, dalam memperkatakan soal ini, ia jelas membuktikan isu-isu berkaitan perkauman semakin mendapat tempat di kalangan parti-parti politik tidak kira daripada kerajaan mahupun pembangkang. Masing-masing berpendapat kononnya hanya melalui isu tersebut sahaja mereka akan mendapat sokongan politik.

Lebih memualkan, dalam menghalalkan tindakan mereka, puak-puak itu menggunakan slogan Satu Malaysia sebagai asas, seolah-olah melalui pendekatan terbaru kerajaan itu segala-galanya harus dibenarkan untuk semua kaum, termasuklah juga membenarkan Chin Peng pulang.

Akibat kedangkalan pemikiran pemimpin-pemimpin politik seperti itulah yang menyebabkan dari semasa ke semasa wujud pelbagai pihak yang cuba menjadi wira kepada kaum tertentu. Perkara seumpama ini jika dibiarkan ia akan menjadi virus yang boleh menghancurkan perpaduan kaum di negara ini. Isu Chin Peng hanyalah salah satu daripada keberanian tidak bertempat sesetengah ahli politik dalam membangkitkan perkara berkaitan dengan perkauman. Sebelum ini sudah banyak isu termasuklah yang melibatkan kepentingan orang Melayu disentuh.


Kelompok yang membangkitkan isu berkaitan perkauman itu berbuat demikian kerana mereka sudah tidak ada lagi perasaan untuk menjaga sensitiviti mana-mana kaum terutamanya orang Melayu. Apatah lagi mereka melihat ada sahaja pemimpin Melayu yang atas dasar kepentingan politik sempit sanggup menyokong apa yang mereka lakukan. Kesudahannya, isu-isu perkauman terus dimainkan seolah-olah ia bukanlah isu yang sensitif.

Dengan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan Chin Peng pulang maka semua pihak terutamanya dalam parti kerajaan harus patuh kepada pendirian itu. Mereka tidak perlu membangkitkan lagi isu-isu sensitif seumpama itu hanya semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan sesebuah parti.


Fahamilah kekejaman komunis dan belajar memahami sejarah, jangan jadi kelompok yang sengaja memadamkan sejarah semata-mata kerana kepentingan politik kepartian.

Jika Mahu Pulang, Heret Ke Muka Pengadilan

Kemarahan bekas tentera terhadap Chin Peng terus membuak-buak apabila seramai 550 anggotanya di Gugusan Felda Koyan dekat sini mahu Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu diheret ke muka pengadilan jika dibenarkan pulang ke tanah air.

Mereka yang merupakan bekas tentera Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan komando Sungai Udang, Melaka menegaskan, Chin Peng bertanggungjawab terhadap pembunuhan ribuan orang awam termasuk kira-kira 3,000 anggota tentera yang terbunuh dan cedera sepanjang tempoh darurat di negara ini.

Berikutan itu, tegas mereka, Chin Peng perlu dihukum akibat kekejaman yang dilakukannya.
Bekas Pegawai Waran Dua RAMD Sungai Udang, Jibin Yahya, 75, menegaskan, Chin Peng dan pengikutnya sepatutnya diheret ke mahkamah antarabangsa sebagaimana pemimpin pengganas negara lain yang telah membunuh ramai rakyat tidak berdosa semata-mata memperjuangkan ideologi komunisnya.

''Kami bekas tentera tidak sesekali memaafkan kekejaman Chin Peng dan pengikutnya. Saya pernah lihat rakan dibunuh dengan kejam semasa kami berjuang di Gerik, Perak dulu," katanya.
Jibin yang berkhidmat pada tahun 1952 hingga 1976 menegaskan, usaha pihak tertentu untuk membawa pulang Chin Peng boleh mengancam keselamatan negara terutama dalam kalangan pengikutnya yang masih ada di negara ini.

Bapa kepada 10 anak itu berkata, sekiranya bekas pemimpin pengganas itu dibenarkan kembali, ia bermakna kerajaan telah melupakan keganasan Chin Peng yang menyebabkan ramai isteri menjadi balu dan anak-anak menjadi yatim piatu.

Bekas Sarjan, Sulaiman Hassan, 72, dari Felda Sungai Koyan Dua di sini menegaskan, dia akan menjadi orang pertama memenggal kepala Chin Peng jika ketua pengganas tanah air itu dibenarkan kembali.

''Dosa Chin Peng tidak boleh dimaafkan. Kami berperasaan seperti rakan lain. Jika Chin Peng pulang ke tanah air, sayalah orang yang pertama akan menghancurkan kepalanya," tegasnya.
Sulaiman yang berkhidmat pada 1955 hingga 1976 dalam dalam Kor Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, dia memberi amaran kepada pihak tertentu yang berkepentingan politik supaya tidak 'bermain api' dengan bekas anggota tentera di negara ini.

Bapa kepada enam anak itu menegaskan, walaupun kini bergelar peneroka dan semakin berumur, perasaan marah terhadap Chin Peng masih membara kerana banyak darah dan air mata rakyat mengalir di negara ini akibat keganasan komunis.

Bekas Komando Rejimen 1 Kem Sungai Udang, Zainal Omar, 71, berkata, dia tiada langsung rasa simpati terhadap Chin Peng dan pengikutnya yang cuba dirayu pihak tertentu supaya pengganas itu dibenarkan pulang ke tanah air.

''Saya membantah keras cita-cita pihak tertentu yang bersifat politik perkauman. Chin Peng adalah pengganas dan pembunuh. Tidak perlu lagi dibela atas prinsip kemanusiaan," tegasnya.
Zainal yang berkhidmat dalam Rejimen Komando antara tahun 1958 hingga 1974 amat kesal dengan pihak tertentu yang buta sejarah terutama peristiwa Darurat 1948 yang menumpahkan darah tentera yang berjuang di garisan hadapan memerangi komunis.

Bekas Pegawai Waran Dua dari RAMD Sungai Udang, Omar Deraman, 74, berkata, keputusan tidak membenarkan Chin Peng kembali ke tanah air membuktikan kerajaan memahami perasaan bekas tentera dan polis.

''Saya menyokong Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memahami sejarah dan menyelami perasaan bekas tentera yang masih hidup termasuk balu dan anak-anak askar yang terkorban di perbatasan ketika memerangi komunis dulu," katanya.

Oleh itu, Omar yang pernah berkhidmat antara tahun 1952 hingga 1976 memberitahu, darah dan air mata pejuang tidak boleh dinilai dengan kebendaan mahupun usaha diplomatik yang merestukan Chin Peng kembali ke tanah air.

Bekas Lans Koperal RAMD Sungai Udang, Saaya Mohamad, 70, menggesa kerajaan mengadakan kempen menyedarkan rakyat terutama generasi muda terhadap kekejaman Chin Peng dan pengikutnya.

''Usaha ini perlu segera dilaksanakan supaya dapat menghalang pihak tertentu meracuni pemikiran golongan muda yang kebanyakannya tidak tahu sejarah Darurat 1948 dan ideologi komunis," katanya.

Tambahnya, kempen itu perlu dilakukan menerusi penerangan, ceramah, brosur, khutbah Jumaat dan blog.

Generasi muda perlu diberi kefahaman mengenai ideologi komunis

Pemimpin badan-badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan bekas tentera perlu berperanan lebih aktif untuk memberi kefahaman kepada generasi muda mengenai bahaya ideologi komunisme dan kekejaman Chin Peng.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, golongan yang pernah melalui zaman Darurat 1948 dan tragedi 13 Mei 1969 boleh memberi pemahaman berasaskan fakta sebenar sejarah tanah air.

''Sejarah tidak pernah berbohong dan membuktikan bahawa kekejaman Chin Peng telah mengorbankan ramai askar, orang awam dan kemusnahan harta benda ketika darurat," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama penduduk di Felda Sungai Koyan Dua, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan sebanyak RM42,000 kepada 20 jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), sekolah, masjid, surau dan tok batin Orang Asli.
Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menegaskan, cubaan pihak tertentu untuk mengiktiraf kembali Parti Komunis Malaya (PKM) seterusnya meminta kerajaan membawa pulang setiausaha agung parti itu merupakan satu penghinaan kepada bekas tentera di negara ini.

Katanya, hujah pihak tertentu dan parti pembangkang merupakan sentimen perkauman yang berselindung di sebalik kepentingan politik masing-masing yang boleh mengancam keselamatan negara.

''Mereka yang menggembar-gemburkan isu membawa pulang Chin Peng atas dasar kemanusiaan, kita anggap buta sejarah, mereka tidak mengambil kira perasaan kaum lain dan bekas tentera serta polis,'' tegasnya.

Beliau berkata, kerajaan amat peka dengan mainan politik pembangkang sekali gus menyokong penuh keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan tidak akan membenarkan Chin Peng kembali ke tanah air.

Katanya, Chin Peng bukan ikon sebaliknya pengganas yang membunuh ribuan rakyat tidak berdosa selain memusnahkan harta awam ketika darurat di negara ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM42,000 untuk perbelanjaan pengurusan JKKK, masjid, surau, penduduk Orang Asli dan kecemerlangan akademik sekolah di kawasan DUN Jelai pada tahun ini.

Katanya, setiap penerima memperoleh bantuan bernilai antara RM5,000 dan RM10,000 yang dipohon menerusi pejabat wakil rakyat di sini baru-baru ini.

''Saya berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang meluluskan peruntukan itu untuk pengurusan organisasi, kecemerlangan akademik pelajar dan pembangunan modal insan penduduk luar bandar," katanya.

Beliau menambah, penerima bantuan berkenaan wajar mengurus perbelanjaan kewangan secara berhemah dan memberi keutamaan kepada keperluan untuk pentadbiran dan pelaksanaan aktiviti yang terancang.

Huru-hara Chin Peng Kembali

Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) memberi amaran negara akan mengalami huru-hara jika Chin Peng dibenarkan kembali.

Naib Presidennya, Adiwijaya Abdullah berkata, ini kerana pengganas komunis paling dikehendaki itu telah meninggalkan kesan yang sangat pahit kepada rakyat terutama orang Melayu.

Beliau berkata, tidak ada sebab untuk membawa pulang pengkhianat itu kerana ia akan menghiris perasaan bekas tentera dan ahli keluarga yang kini menderita akibat kekejaman komunis.

“Kami menentang sekeras-kerasnya usaha membawa kembali Chin Peng ke negara ini. Jangan biarkan dia jejakkan kaki di sini.

“Fikir-fikirkanlah pandangan dan perasaan rakyat di negara ini terlebih dahulu. Negara kita sudah aman jadi janganlah timbulkan kekecohan pula,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Pengerusi Lembaga Beradat PSSGM di setiap negeri untuk menganggotai Lembaga Beradat persatuan itu di peringkat kebangsaan selain melantik tujuh orang untuk menganggotai Ahli Lembaga Waris Amanah pertubuhan tersebut.
Pelantikan itu dibuat setelah PSSGM menamatkan mesyuarat selama dua hari berakhir hari ini di Hotel D’ Palma, Ampang, Selangor.


Menurut Adiwijaya, PSSGM juga menyatakan sokongan terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak membawa pulang Chin Peng.

Ramai Orang Cina Diseksa Komunis

Penderitaan semasa zaman darurat akibat kekejaman komunis bukan sahaja dirasai oleh orang Melayu bahkan turut dialami kaum lain di negara ini.

Bagi bekas anggota Unit Keselamatan Kampung (Home Guard) Kampung Sungai Jerik di sini, Lee Wah Thim, 78, kekejaman komunis di kampungnya ketika zaman darurat tidak dapat dilupakan sehingga kini.

Menurutnya, dia melihat bagaimana pengganas komunis menyeksa dan membunuh penduduk kampung yang terdiri daripada kaum Cina yang enggan bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

''Sesiapa pun di kalangan penduduk dari kaum Cina yang enggan bekerjasama akan diseksa atau dibunuh dengan kejam oleh pengganas yang memasuki kampung kami," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di kampung tersebut hari ini.

Wah Thim ketika ditemui hanya mampu terbaring kerana demam panas.
Bagaimanapun, dia bangun apabila diajukan soalan mengenai pengalamannya menghadapi kekejaman komunis dan Chin Peng ketika zaman darurat.

Wah Thim yang bertugas selama lima tahun sebagai Home Guard iaitu pada 1953 hingga 1957 memberitahu, penduduk kampungnya terpaksa memakan ubi kayu kerana bekalan beras terpaksa disalurkan kepada pengganas komunis secara paksaan.

''Pengganas komunis menggeledah rumah kami untuk mencari beras dan jika tidak beri, kami akan diseksa atau dibunuh.

''Kemarahan saya terhadap komunis masih tidak dapat saya lupakan kerana kebiadapan mereka membuat huru hara dan menyiksa rakyat," tegasnya.

Menurutnya, generasi terdahulu tidak akan dapat melupakan peristiwa darurat itu apabila kampung- kampung baru terpaksa dikawal setiap masa sehingga menyukarkan penduduk menjalankan kerja-kerja harian.

Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas Perajurit Pahang, Mohamad Abdul Rahman, 71, menegaskan, dia amat mendendami komunis kerana telah membunuh ayahnya, Abdul Rahman Abdullah yang ketika itu merupakan anggota polis di Batu Papan, Bera pada 1954.
Sehubungan itu, tegasnya, perasaan marahnya kembali meluap apabila ada ura-ura pihak tertentu membawa balik Setiausaha Agung PKM, Chin Peng ke negara ini.

''Kejadian pembunuhan bapa mendorong saya menyertai askar Melayu pada 1955. Selepas diterima masuk pada umur 17 tahun, saya ditugaskan di hutan Pahang, Perak dan Selatan Thailand.

''Sepanjang bertempur dengan komunis, saya berjaya menembak mati lebih tiga anggota pengganas selain mencederakan ramai anggotanya lagi sehingga bersara pada 1968," katanya
Presiden Persatuan Ketua-Ketua Kampung Malaysia, Mohd. Shahaimi Othman menegaskan, lebih 30,000 ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) seluruh negara menentang keras sebarang usaha membawa balik Chin Peng ke negara ini.

Tegas beliau, usaha pihak tertentu mahu membawa pulang Chin Peng dianggap sebagai buta sejarah dan tidak patriotik kepada negara.

Katanya, kehadiran Chin Peng ke negara ini tidak dikehendaki setelah ketua pengganas itu melakukan pelbagai keganasan yang menyebabkan ribuan nyawa dan harta benda musnah.

Malaysia Tidak Langgar Perjanjian

Dakwaan bahawa kerajaan memungkiri Perjanjian Peletakan Senjata Parti Komunis Malaya (PKM) kerana menghalang Chin Peng pulang ke Malaysia adalah tidak tepat.

Bekas Setiausaha Agung PKM itu sebaliknya tidak pernah menunjukkan kesungguhan untuk memohon pulang ke negara ini selepas perjanjian damai dimeterai antara dua pihak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, walaupun Chin Peng atau nama asalnya Ong Boon Hwa telah membuat permohonan untuk pulang namun beliau tidak menghadiri proses temu duga yang ditetapkan pada 31 Oktober l992.

''Chin Peng telah mengemukakan permohonan untuk kembali ke Malaysia sehari sebelum tempoh yang diberikan berakhir, dia bagaimanapun tidak menghadiri temu duga yang ditetapkan.

''Chin Peng juga tidak pernah membuat permohonan baru tetapi menggunakan saluran mahkamah untuk menentukan status kewarganegaraannya, ini menunjukkan beliau enggan mematuhi syarat perjanjian yang ditandatanganinya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abu Seman berkata, semua bekas ahli PKM yang ingin pulang ke Malaysia perlu menghadiri temu duga sebelum permohonan mereka dipertimbangkan.

''Seramai 442 orang bekas ahli PKM telah memohon untuk pulang ke Malaysia dan 406 orang daripada mereka telah menghadiri temu duga.

''Kesemua ahli PKM yang memohon dan memenuhi syarat yang ditetapkan telah diterima kembali ke negara ini," katanya.

Beliau berkata, Chin Peng bukan wira negara yang patut dibela oleh mana-mana pihak kerana telah melakukan keganasan di negara ini.

''Chin Peng ketika itu telah menjalankan kegiatan subversif dan keganasan dalam usaha PKM memerangi dan menggulingkan Kerajaan Malaysia," katanya.

Menurut beliau, antara mangsa PKM ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang ditembak mati di Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974 dan bekas Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong yang dibunuh di Ipoh pada 13 November 1975.

''Sepanjang 1948 hingga 1990, seramai 2,083 orang anggota keselamatan telah terkorban manakala 3,541 orang lagi cedera.

''Keganasan PKM juga mengakibatkan seramai 2,588 orang awam terkorban dan 1,490 lagi cedera," katanya.

Tambahnya, kemasukan semula Chin Peng ke negara ini akan mencetuskan sentimen tidak puas hati di kalangan rakyat.

''Kepulangan Chin Peng ke Malaysia juga menunjukkan seolah-olah pengorbanan anggota keselamatan yang menentang PKM dahulu menjadi sia-sia," katanya.

Isu Chin Peng: Rayuan Tidak Dilayan

Kerajaan tidak akan melayan rayuan pihak-pihak tertentu yang mahu membawa pulang bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, ketetapan itu sejajar dengan keputusan yang telah dibuat oleh Kabinet selepas mendapati usaha tersebut akan mengguris perasaan rakyat negara ini khususnya mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman komunis.

Beliau berkata, sebagai kerajaan bertanggungjawab, pucuk kepimpinan negara faham mengenai perasaan rakyat secara keseluruhan dan kezaliman yang dilakukan oleh pihak komunis sememangnya sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Mereka cuba mempersoalkan tindakan kerajaan kerana tidak membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini. Mereka kata ini atas dasar kemanusiaan tetapi sedarkah mereka perikemanusiaan ada batasnya?

"Bukankah membunuh manusia lain merupakan satu perbuatan tidak berperikemanusiaan dan inilah yang pernah dilakukan oleh komunis. Kerajaan tetap mempertahankan keputusan ini dan tidak akan melayan sebarang rayuan,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menutup Program Titian Gemilang V di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan keras beberapa bekas anggota keselamatan terutama di kalangan mereka yang menjadi mangsa ekoran cadangan untuk membawa pulang Chin Peng ke negara ini.

Isu itu mula tercetus apabila Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini atas dasar kemanusiaan dan juga dengan alasan bekas pemimpin komunis itu bukan lagi merupakan ancaman terhadap keselamatan negara.

Bagaimanapun pada 27 Mei lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan membenarkan Chin Peng kembali menetap di negara ini.

Menjawab satu soalan, Muhyiddin mahu keputusan itu dihormati oleh semua pihak tanpa ada yang cuba mempersoalkannya dan pada masa sama meminta debat mengenai isu itu dihentikan segera.

"Saya juga ingin menegur ada pihak yang kononnya bercakap atas sifat kemerdekaan, kebebasan dan ketelusan sedang mereka langsung tidak pernah merasa susah dan getir.
"Jangan membuat sesuatu yang boleh menyebabkan luka lama berdarah kembali. Mereka sepatutnya lebih menghargai jasa-jasa pejuang kita terdahulu,'' ujarnya.

Ketika diminta mengulas kenyataan-kenyataan keras yang dikeluarkan oleh bekas anggota keselamatan berhubung isu itu Muhyiddin berkata, ia membuktikan betapa bencinya rakyat kepada komunis.

"Kenyataan-kenyataan itu menggambarkan rasa marah dan kecewa rakyat Malaysia terhadap kezaliman komunis sehingga ramai antara rakyat kita terkorban. Ada juga yang patah kaki, hancur tangan dan sebagainya.

"Kezaliman yang komunis lakukan merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima. Sehubungan itu tidak mungkin kita akan bentang permaidani merah dan mengajaknya pulang. Dalam isu ini kerajaan tidak akan sesekali mengizinkan Chin Peng pulang,'' tambahnya.