Wednesday, June 3, 2009

Jangan Buta Sejarah Kerana Kepentingan Politik

TERNYATA sekali selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, isu-isu berkaitan dengan perkauman seolah-olah menjadi bahan paling laris bagi sesetengah pemimpin politik untuk menjajanya.
Bermula dengan sokongan kepada pertubuhan haram Hindraf, kini ia 'merebak' pula kepada isu menuntut kerajaan membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kembali ke tanah air.

Isu kepulangan bekas ketua pengganas itu pada mula hanya dibangkitkan oleh seorang pemimpin Parti Gerakan (salah satu komponen dalam Barisan Nasional) tetapi apabila ia dilihat mampu memberikan keuntungan politik maka parti-parti pembangkang pula menyokong saranan berkenaan.

Ternyata sekali, sokongan dan gesaan yang dibuat bukanlah atas dasar kemanusiaan tetapi disebabkan ada agenda politik tersembunyi. Justeru keputusan kerajaan menolak gesaan sebegitu adalah amat tepat. Puak-puak yang menyokong kepulangan Chin Peng ini hakikatnya sengaja meletakkan diri mereka untuk dianggap sebagai kelompok yang buta sejarah. Chin Peng adalah pengganas dan pernah mengepalai sekumpulan manusia melakukan pembunuhan dengan sewenang-wenangnya ke atas anggota keselamatan dan rakyat negara ini semata-mata untuk menegakkan perjuangan komunisnya.

Oleh itu, apakah dosa-dosa tersebut harus dilupakan begitu sahaja hanya semata-mata kerana berpendapat dia sudah uzur dan mahu mengakhiri riwayatnya di negara ini? Bagaimana dengan pembunuhan yang dilakukan olehnya sama ada secara langsung atau melalui arahan kepada pengikut-pengikutnya ketika zaman darurat dahulu.

Ingatlah Chin Peng adalah pengganas kejam yang membunuh ribuan rakyat negara ini, malah tanpa belas ihsan menyerang setiap sudut anggota keselamatan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Justeru mengapakah dengan mudah kekejamannya hendak dimaafkan begitu sahaja?

Dalam isu Chin Peng, soal kemanusiaan tidak harus sama sekali menjadi pertimbangan kerana dia sendiri suatu ketika dulu tidak mempunyai perasaan perikemanusiaan akibat taksub kepada perjuangan komunis. Justeru janganlah mengeluarkan hujah dangkal dengan mengatakan kerajaan boleh membenarkan Chin Peng pulang dengan syarat kerajaan memastikan dia sudah meninggalkan doktrin komunisnya.


Kalau itulah hujahnya, bagaimana jika sesiapa juga yang melakukan pembunuhan dan kini berada dalam penjara atau menanti hukuman mati boleh dibebaskan dengan syarat mereka ditanya, apakah mereka mahu membunuh lagi atau tidak?

Mungkin pihak-pihak terlibat menganggap ia suatu perbandingan tidak wajar tetapi apa istimewanya Chin Peng, bukankah dia juga adalah seorang pembunuh dan sudah banyak membawa kesengsaraan kepada negara ini. Memang benar Chin Peng uzur dan sakit tetapi sekurang-kurangnya dia masih insan yang tidak cacat anggota badannya.

Ini berbeza dengan ribuan anggota tentera yang kini masih hidup tetapi mengalami kecacatan sepanjang hayat akibat jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis dari Padang Besar hinggalah ke Tanah Merah, Kelantan.

Adakah ketika Chin Peng melakukan semua kekejaman berkenaan dia terfikir bahawa suatu hari kelak dia akan merempat dan mengemis untuk kembali ke tanah air bernama Malaysia ini? Kenapa Chin Peng perlu dilepaskan daripada segala perbuatan kejamnya?

Justeru kepada puak-puak yang masih mahu memperjuangkan Chin Peng ingatlah bahawa bekas ketua pengganas itu tidak mempunyai sekelumit pun jasa kepada negara ini. Daripada puak-puak yang buta sejarah itu memperjuangkan nasib Chin Peng adalah lebih baik jika mereka berusaha menggesa kerajaan mempertingkatkan lagi bantuan kepada bekas-bekas anggota tentera dan keluarga yang menjadi mangsa akibat kekejaman komunis.

Kalaupun hendak mencari keuntungan politik ia bukanlah melalui cara hendak memperjuangkan nasib seorang bekas ketua pengganas, banyak lagi insan-insan lain yang harus dibela. Kenapa perlu bercakap soal kepulangan Chin Peng sedangkan terdapat banyak lagi isu lain yang perlu diperjuangkan bagi memastikan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum hidup aman dan damai.

Percayalah, mungkin ada segelintir sahaja yang menyokong gesaan untuk membenarkan Chin Peng kembali tetapi terdapat jutaan lagi rakyat Malaysia menentang keras langkah tersebut. Puak yang menyokong itu adalah terdiri daripada mereka yang bukan sahaja buta sejarah tetapi berfahaman liberalisme, mereka tidak tahu apa itu komunis.

Apa pun, dalam memperkatakan soal ini, ia jelas membuktikan isu-isu berkaitan perkauman semakin mendapat tempat di kalangan parti-parti politik tidak kira daripada kerajaan mahupun pembangkang. Masing-masing berpendapat kononnya hanya melalui isu tersebut sahaja mereka akan mendapat sokongan politik.

Lebih memualkan, dalam menghalalkan tindakan mereka, puak-puak itu menggunakan slogan Satu Malaysia sebagai asas, seolah-olah melalui pendekatan terbaru kerajaan itu segala-galanya harus dibenarkan untuk semua kaum, termasuklah juga membenarkan Chin Peng pulang.

Akibat kedangkalan pemikiran pemimpin-pemimpin politik seperti itulah yang menyebabkan dari semasa ke semasa wujud pelbagai pihak yang cuba menjadi wira kepada kaum tertentu. Perkara seumpama ini jika dibiarkan ia akan menjadi virus yang boleh menghancurkan perpaduan kaum di negara ini. Isu Chin Peng hanyalah salah satu daripada keberanian tidak bertempat sesetengah ahli politik dalam membangkitkan perkara berkaitan dengan perkauman. Sebelum ini sudah banyak isu termasuklah yang melibatkan kepentingan orang Melayu disentuh.


Kelompok yang membangkitkan isu berkaitan perkauman itu berbuat demikian kerana mereka sudah tidak ada lagi perasaan untuk menjaga sensitiviti mana-mana kaum terutamanya orang Melayu. Apatah lagi mereka melihat ada sahaja pemimpin Melayu yang atas dasar kepentingan politik sempit sanggup menyokong apa yang mereka lakukan. Kesudahannya, isu-isu perkauman terus dimainkan seolah-olah ia bukanlah isu yang sensitif.

Dengan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan Chin Peng pulang maka semua pihak terutamanya dalam parti kerajaan harus patuh kepada pendirian itu. Mereka tidak perlu membangkitkan lagi isu-isu sensitif seumpama itu hanya semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan sesebuah parti.


Fahamilah kekejaman komunis dan belajar memahami sejarah, jangan jadi kelompok yang sengaja memadamkan sejarah semata-mata kerana kepentingan politik kepartian.

Jika Mahu Pulang, Heret Ke Muka Pengadilan

Kemarahan bekas tentera terhadap Chin Peng terus membuak-buak apabila seramai 550 anggotanya di Gugusan Felda Koyan dekat sini mahu Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu diheret ke muka pengadilan jika dibenarkan pulang ke tanah air.

Mereka yang merupakan bekas tentera Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan komando Sungai Udang, Melaka menegaskan, Chin Peng bertanggungjawab terhadap pembunuhan ribuan orang awam termasuk kira-kira 3,000 anggota tentera yang terbunuh dan cedera sepanjang tempoh darurat di negara ini.

Berikutan itu, tegas mereka, Chin Peng perlu dihukum akibat kekejaman yang dilakukannya.
Bekas Pegawai Waran Dua RAMD Sungai Udang, Jibin Yahya, 75, menegaskan, Chin Peng dan pengikutnya sepatutnya diheret ke mahkamah antarabangsa sebagaimana pemimpin pengganas negara lain yang telah membunuh ramai rakyat tidak berdosa semata-mata memperjuangkan ideologi komunisnya.

''Kami bekas tentera tidak sesekali memaafkan kekejaman Chin Peng dan pengikutnya. Saya pernah lihat rakan dibunuh dengan kejam semasa kami berjuang di Gerik, Perak dulu," katanya.
Jibin yang berkhidmat pada tahun 1952 hingga 1976 menegaskan, usaha pihak tertentu untuk membawa pulang Chin Peng boleh mengancam keselamatan negara terutama dalam kalangan pengikutnya yang masih ada di negara ini.

Bapa kepada 10 anak itu berkata, sekiranya bekas pemimpin pengganas itu dibenarkan kembali, ia bermakna kerajaan telah melupakan keganasan Chin Peng yang menyebabkan ramai isteri menjadi balu dan anak-anak menjadi yatim piatu.

Bekas Sarjan, Sulaiman Hassan, 72, dari Felda Sungai Koyan Dua di sini menegaskan, dia akan menjadi orang pertama memenggal kepala Chin Peng jika ketua pengganas tanah air itu dibenarkan kembali.

''Dosa Chin Peng tidak boleh dimaafkan. Kami berperasaan seperti rakan lain. Jika Chin Peng pulang ke tanah air, sayalah orang yang pertama akan menghancurkan kepalanya," tegasnya.
Sulaiman yang berkhidmat pada 1955 hingga 1976 dalam dalam Kor Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, dia memberi amaran kepada pihak tertentu yang berkepentingan politik supaya tidak 'bermain api' dengan bekas anggota tentera di negara ini.

Bapa kepada enam anak itu menegaskan, walaupun kini bergelar peneroka dan semakin berumur, perasaan marah terhadap Chin Peng masih membara kerana banyak darah dan air mata rakyat mengalir di negara ini akibat keganasan komunis.

Bekas Komando Rejimen 1 Kem Sungai Udang, Zainal Omar, 71, berkata, dia tiada langsung rasa simpati terhadap Chin Peng dan pengikutnya yang cuba dirayu pihak tertentu supaya pengganas itu dibenarkan pulang ke tanah air.

''Saya membantah keras cita-cita pihak tertentu yang bersifat politik perkauman. Chin Peng adalah pengganas dan pembunuh. Tidak perlu lagi dibela atas prinsip kemanusiaan," tegasnya.
Zainal yang berkhidmat dalam Rejimen Komando antara tahun 1958 hingga 1974 amat kesal dengan pihak tertentu yang buta sejarah terutama peristiwa Darurat 1948 yang menumpahkan darah tentera yang berjuang di garisan hadapan memerangi komunis.

Bekas Pegawai Waran Dua dari RAMD Sungai Udang, Omar Deraman, 74, berkata, keputusan tidak membenarkan Chin Peng kembali ke tanah air membuktikan kerajaan memahami perasaan bekas tentera dan polis.

''Saya menyokong Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memahami sejarah dan menyelami perasaan bekas tentera yang masih hidup termasuk balu dan anak-anak askar yang terkorban di perbatasan ketika memerangi komunis dulu," katanya.

Oleh itu, Omar yang pernah berkhidmat antara tahun 1952 hingga 1976 memberitahu, darah dan air mata pejuang tidak boleh dinilai dengan kebendaan mahupun usaha diplomatik yang merestukan Chin Peng kembali ke tanah air.

Bekas Lans Koperal RAMD Sungai Udang, Saaya Mohamad, 70, menggesa kerajaan mengadakan kempen menyedarkan rakyat terutama generasi muda terhadap kekejaman Chin Peng dan pengikutnya.

''Usaha ini perlu segera dilaksanakan supaya dapat menghalang pihak tertentu meracuni pemikiran golongan muda yang kebanyakannya tidak tahu sejarah Darurat 1948 dan ideologi komunis," katanya.

Tambahnya, kempen itu perlu dilakukan menerusi penerangan, ceramah, brosur, khutbah Jumaat dan blog.

Generasi muda perlu diberi kefahaman mengenai ideologi komunis

Pemimpin badan-badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan bekas tentera perlu berperanan lebih aktif untuk memberi kefahaman kepada generasi muda mengenai bahaya ideologi komunisme dan kekejaman Chin Peng.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, golongan yang pernah melalui zaman Darurat 1948 dan tragedi 13 Mei 1969 boleh memberi pemahaman berasaskan fakta sebenar sejarah tanah air.

''Sejarah tidak pernah berbohong dan membuktikan bahawa kekejaman Chin Peng telah mengorbankan ramai askar, orang awam dan kemusnahan harta benda ketika darurat," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama penduduk di Felda Sungai Koyan Dua, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan sebanyak RM42,000 kepada 20 jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), sekolah, masjid, surau dan tok batin Orang Asli.
Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menegaskan, cubaan pihak tertentu untuk mengiktiraf kembali Parti Komunis Malaya (PKM) seterusnya meminta kerajaan membawa pulang setiausaha agung parti itu merupakan satu penghinaan kepada bekas tentera di negara ini.

Katanya, hujah pihak tertentu dan parti pembangkang merupakan sentimen perkauman yang berselindung di sebalik kepentingan politik masing-masing yang boleh mengancam keselamatan negara.

''Mereka yang menggembar-gemburkan isu membawa pulang Chin Peng atas dasar kemanusiaan, kita anggap buta sejarah, mereka tidak mengambil kira perasaan kaum lain dan bekas tentera serta polis,'' tegasnya.

Beliau berkata, kerajaan amat peka dengan mainan politik pembangkang sekali gus menyokong penuh keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan tidak akan membenarkan Chin Peng kembali ke tanah air.

Katanya, Chin Peng bukan ikon sebaliknya pengganas yang membunuh ribuan rakyat tidak berdosa selain memusnahkan harta awam ketika darurat di negara ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM42,000 untuk perbelanjaan pengurusan JKKK, masjid, surau, penduduk Orang Asli dan kecemerlangan akademik sekolah di kawasan DUN Jelai pada tahun ini.

Katanya, setiap penerima memperoleh bantuan bernilai antara RM5,000 dan RM10,000 yang dipohon menerusi pejabat wakil rakyat di sini baru-baru ini.

''Saya berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang meluluskan peruntukan itu untuk pengurusan organisasi, kecemerlangan akademik pelajar dan pembangunan modal insan penduduk luar bandar," katanya.

Beliau menambah, penerima bantuan berkenaan wajar mengurus perbelanjaan kewangan secara berhemah dan memberi keutamaan kepada keperluan untuk pentadbiran dan pelaksanaan aktiviti yang terancang.

Huru-hara Chin Peng Kembali

Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) memberi amaran negara akan mengalami huru-hara jika Chin Peng dibenarkan kembali.

Naib Presidennya, Adiwijaya Abdullah berkata, ini kerana pengganas komunis paling dikehendaki itu telah meninggalkan kesan yang sangat pahit kepada rakyat terutama orang Melayu.

Beliau berkata, tidak ada sebab untuk membawa pulang pengkhianat itu kerana ia akan menghiris perasaan bekas tentera dan ahli keluarga yang kini menderita akibat kekejaman komunis.

“Kami menentang sekeras-kerasnya usaha membawa kembali Chin Peng ke negara ini. Jangan biarkan dia jejakkan kaki di sini.

“Fikir-fikirkanlah pandangan dan perasaan rakyat di negara ini terlebih dahulu. Negara kita sudah aman jadi janganlah timbulkan kekecohan pula,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Pengerusi Lembaga Beradat PSSGM di setiap negeri untuk menganggotai Lembaga Beradat persatuan itu di peringkat kebangsaan selain melantik tujuh orang untuk menganggotai Ahli Lembaga Waris Amanah pertubuhan tersebut.
Pelantikan itu dibuat setelah PSSGM menamatkan mesyuarat selama dua hari berakhir hari ini di Hotel D’ Palma, Ampang, Selangor.


Menurut Adiwijaya, PSSGM juga menyatakan sokongan terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak membawa pulang Chin Peng.

Ramai Orang Cina Diseksa Komunis

Penderitaan semasa zaman darurat akibat kekejaman komunis bukan sahaja dirasai oleh orang Melayu bahkan turut dialami kaum lain di negara ini.

Bagi bekas anggota Unit Keselamatan Kampung (Home Guard) Kampung Sungai Jerik di sini, Lee Wah Thim, 78, kekejaman komunis di kampungnya ketika zaman darurat tidak dapat dilupakan sehingga kini.

Menurutnya, dia melihat bagaimana pengganas komunis menyeksa dan membunuh penduduk kampung yang terdiri daripada kaum Cina yang enggan bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

''Sesiapa pun di kalangan penduduk dari kaum Cina yang enggan bekerjasama akan diseksa atau dibunuh dengan kejam oleh pengganas yang memasuki kampung kami," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di kampung tersebut hari ini.

Wah Thim ketika ditemui hanya mampu terbaring kerana demam panas.
Bagaimanapun, dia bangun apabila diajukan soalan mengenai pengalamannya menghadapi kekejaman komunis dan Chin Peng ketika zaman darurat.

Wah Thim yang bertugas selama lima tahun sebagai Home Guard iaitu pada 1953 hingga 1957 memberitahu, penduduk kampungnya terpaksa memakan ubi kayu kerana bekalan beras terpaksa disalurkan kepada pengganas komunis secara paksaan.

''Pengganas komunis menggeledah rumah kami untuk mencari beras dan jika tidak beri, kami akan diseksa atau dibunuh.

''Kemarahan saya terhadap komunis masih tidak dapat saya lupakan kerana kebiadapan mereka membuat huru hara dan menyiksa rakyat," tegasnya.

Menurutnya, generasi terdahulu tidak akan dapat melupakan peristiwa darurat itu apabila kampung- kampung baru terpaksa dikawal setiap masa sehingga menyukarkan penduduk menjalankan kerja-kerja harian.

Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas Perajurit Pahang, Mohamad Abdul Rahman, 71, menegaskan, dia amat mendendami komunis kerana telah membunuh ayahnya, Abdul Rahman Abdullah yang ketika itu merupakan anggota polis di Batu Papan, Bera pada 1954.
Sehubungan itu, tegasnya, perasaan marahnya kembali meluap apabila ada ura-ura pihak tertentu membawa balik Setiausaha Agung PKM, Chin Peng ke negara ini.

''Kejadian pembunuhan bapa mendorong saya menyertai askar Melayu pada 1955. Selepas diterima masuk pada umur 17 tahun, saya ditugaskan di hutan Pahang, Perak dan Selatan Thailand.

''Sepanjang bertempur dengan komunis, saya berjaya menembak mati lebih tiga anggota pengganas selain mencederakan ramai anggotanya lagi sehingga bersara pada 1968," katanya
Presiden Persatuan Ketua-Ketua Kampung Malaysia, Mohd. Shahaimi Othman menegaskan, lebih 30,000 ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) seluruh negara menentang keras sebarang usaha membawa balik Chin Peng ke negara ini.

Tegas beliau, usaha pihak tertentu mahu membawa pulang Chin Peng dianggap sebagai buta sejarah dan tidak patriotik kepada negara.

Katanya, kehadiran Chin Peng ke negara ini tidak dikehendaki setelah ketua pengganas itu melakukan pelbagai keganasan yang menyebabkan ribuan nyawa dan harta benda musnah.

Malaysia Tidak Langgar Perjanjian

Dakwaan bahawa kerajaan memungkiri Perjanjian Peletakan Senjata Parti Komunis Malaya (PKM) kerana menghalang Chin Peng pulang ke Malaysia adalah tidak tepat.

Bekas Setiausaha Agung PKM itu sebaliknya tidak pernah menunjukkan kesungguhan untuk memohon pulang ke negara ini selepas perjanjian damai dimeterai antara dua pihak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, walaupun Chin Peng atau nama asalnya Ong Boon Hwa telah membuat permohonan untuk pulang namun beliau tidak menghadiri proses temu duga yang ditetapkan pada 31 Oktober l992.

''Chin Peng telah mengemukakan permohonan untuk kembali ke Malaysia sehari sebelum tempoh yang diberikan berakhir, dia bagaimanapun tidak menghadiri temu duga yang ditetapkan.

''Chin Peng juga tidak pernah membuat permohonan baru tetapi menggunakan saluran mahkamah untuk menentukan status kewarganegaraannya, ini menunjukkan beliau enggan mematuhi syarat perjanjian yang ditandatanganinya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abu Seman berkata, semua bekas ahli PKM yang ingin pulang ke Malaysia perlu menghadiri temu duga sebelum permohonan mereka dipertimbangkan.

''Seramai 442 orang bekas ahli PKM telah memohon untuk pulang ke Malaysia dan 406 orang daripada mereka telah menghadiri temu duga.

''Kesemua ahli PKM yang memohon dan memenuhi syarat yang ditetapkan telah diterima kembali ke negara ini," katanya.

Beliau berkata, Chin Peng bukan wira negara yang patut dibela oleh mana-mana pihak kerana telah melakukan keganasan di negara ini.

''Chin Peng ketika itu telah menjalankan kegiatan subversif dan keganasan dalam usaha PKM memerangi dan menggulingkan Kerajaan Malaysia," katanya.

Menurut beliau, antara mangsa PKM ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang ditembak mati di Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974 dan bekas Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong yang dibunuh di Ipoh pada 13 November 1975.

''Sepanjang 1948 hingga 1990, seramai 2,083 orang anggota keselamatan telah terkorban manakala 3,541 orang lagi cedera.

''Keganasan PKM juga mengakibatkan seramai 2,588 orang awam terkorban dan 1,490 lagi cedera," katanya.

Tambahnya, kemasukan semula Chin Peng ke negara ini akan mencetuskan sentimen tidak puas hati di kalangan rakyat.

''Kepulangan Chin Peng ke Malaysia juga menunjukkan seolah-olah pengorbanan anggota keselamatan yang menentang PKM dahulu menjadi sia-sia," katanya.

Isu Chin Peng: Rayuan Tidak Dilayan

Kerajaan tidak akan melayan rayuan pihak-pihak tertentu yang mahu membawa pulang bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, ketetapan itu sejajar dengan keputusan yang telah dibuat oleh Kabinet selepas mendapati usaha tersebut akan mengguris perasaan rakyat negara ini khususnya mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman komunis.

Beliau berkata, sebagai kerajaan bertanggungjawab, pucuk kepimpinan negara faham mengenai perasaan rakyat secara keseluruhan dan kezaliman yang dilakukan oleh pihak komunis sememangnya sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Mereka cuba mempersoalkan tindakan kerajaan kerana tidak membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini. Mereka kata ini atas dasar kemanusiaan tetapi sedarkah mereka perikemanusiaan ada batasnya?

"Bukankah membunuh manusia lain merupakan satu perbuatan tidak berperikemanusiaan dan inilah yang pernah dilakukan oleh komunis. Kerajaan tetap mempertahankan keputusan ini dan tidak akan melayan sebarang rayuan,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menutup Program Titian Gemilang V di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan keras beberapa bekas anggota keselamatan terutama di kalangan mereka yang menjadi mangsa ekoran cadangan untuk membawa pulang Chin Peng ke negara ini.

Isu itu mula tercetus apabila Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini atas dasar kemanusiaan dan juga dengan alasan bekas pemimpin komunis itu bukan lagi merupakan ancaman terhadap keselamatan negara.

Bagaimanapun pada 27 Mei lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan membenarkan Chin Peng kembali menetap di negara ini.

Menjawab satu soalan, Muhyiddin mahu keputusan itu dihormati oleh semua pihak tanpa ada yang cuba mempersoalkannya dan pada masa sama meminta debat mengenai isu itu dihentikan segera.

"Saya juga ingin menegur ada pihak yang kononnya bercakap atas sifat kemerdekaan, kebebasan dan ketelusan sedang mereka langsung tidak pernah merasa susah dan getir.
"Jangan membuat sesuatu yang boleh menyebabkan luka lama berdarah kembali. Mereka sepatutnya lebih menghargai jasa-jasa pejuang kita terdahulu,'' ujarnya.

Ketika diminta mengulas kenyataan-kenyataan keras yang dikeluarkan oleh bekas anggota keselamatan berhubung isu itu Muhyiddin berkata, ia membuktikan betapa bencinya rakyat kepada komunis.

"Kenyataan-kenyataan itu menggambarkan rasa marah dan kecewa rakyat Malaysia terhadap kezaliman komunis sehingga ramai antara rakyat kita terkorban. Ada juga yang patah kaki, hancur tangan dan sebagainya.

"Kezaliman yang komunis lakukan merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima. Sehubungan itu tidak mungkin kita akan bentang permaidani merah dan mengajaknya pulang. Dalam isu ini kerajaan tidak akan sesekali mengizinkan Chin Peng pulang,'' tambahnya.

Ideologi PKM Masih Jadi Ancaman

PARTI Komunis Malaya (PKM) menjadi ancaman kepada keselamatan negara sebelum dan selepas merdeka sehingga termeterai Perjanjian Damai 1989. Namun, apa yang heboh sekarang ini ialah ada usaha membawa pulang bekas pemimpin utama PKM, Chin Peng ke Malaysia.
Adakah ini bermakna ancaman itu sudah tiada lagi? Adakah kita mudah lupa dengan serangan PKM ke atas Balai Polis Bukit Kepong menyebabkan ramai insan tidak berdosa terkorban?
Adakah PKM layak dianggap sebagai 'pejuang' sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan politik? Dalam hal ini semua pihak meliputi rakyat, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan sebagainya perlu memahami apa yang dikatakan sebagai ancaman keselamatan negara dengan melihat kepada konsep keselamatan itu sendiri.

Pada amnya keselamatan ditakrifkan sebagai kebebasan daripada sebarang ancaman sama ada kepada individu, masyarakat mahupun negara. Ancaman itu boleh berbentuk fizikal seperti serangan bersenjata negara lain, kegiatan pengganas atau yang bukan berbentuk fizikal seperti ideologi, serangan politik, ekonomi dan sosial. Konsep keselamatan negara adalah konsep Barat dan diperkenalkan oleh Amerika Syarikat pada era selepas Perang Dunia Kedua yang lebih merujuk kepada ancaman dari luar iaitu Kesatuan Soviet.
Ada beberapa sarjana memberikan takrifan mengenai konsep keselamatan negara. Antaranya adalah Trager and Simone (1973) yang mentafsirkan keselamatan sebagai usaha untuk mencapai nilai nasional merangkumi sistem politik, sosial dan asas fizikal tertubuhnya sesebuah negara.

Nilai nasional ini merujuk kepada kelangsungan hidup bagi memastikan kewujudan berterusan sesebuah negara dan masyarakat, bahasa, pembangunan sosial dan ekonomi, kemerdekaan politik dan integriti sempadan. Al Mashat (1985) pula mentafsirkan nilai nasional itu sebagai nilai teras yang harus dipertahankan. Nilai teras yang dimaksudkan di sini ialah nilai mendukung elemen asas kepada kewujudan sesebuah negara.
Elemen diperlukan untuk kewujudan sesebuah negara terdiri daripada sempadan, pemerintah, masyarakat dan kedaulatan. Keutamaan kepada nilai teras ini sering berubah, tertakluk kepada dinamik isu atau peristiwa dilihat berpotensi menjadi ancaman kepada nilai teras itu dan jika ini berlaku, ia dianggap sebagai memberi ancaman kepada keselamatan negara. Keselamatan negara difahami sebagai negara terselamat daripada ancaman musuh yakni ancaman ketenteraan yang datangnya dari luar sempadan negara.

Bagi dunia sedang membangun seperti Malaysia, ancaman kepada negara datangnya dari dalam dan luar negara ke atas nilai teras iaitu perpaduan kaum, pembangunan ekonomi, kedaulatan dan keutuhan wilayah. Berdasarkan kepada konsep itu, ideologi PKM masih menjadi ancaman kerana ia boleh mengancam nilai teras negara iaitu kepada perpaduan kaum. Dalam era globalisasi ini, walaupun tidak wujud gerakan secara bersenjata, penggunaan kecanggihan teknologi dan komunikasi mampu untuk menghidupkan semula ideologi komunis khususnya penyebaran melalui laman web dan blog.
Usaha membawa pulang Chin Peng jika tidak diambil perhatian serius mampu memberi ancaman kepada keselamatan negara. Dengan demikian Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih lagi relevan untuk membendung ancaman ini. Sekali silap membuat keputusan maka peristiwa hitam yang dilakukan oleh PKM akan berulang kembali. Ia perlu dicegah daripada awal.

Rakyat Tidak Mudah Lupa Keganasan Komunis

CHIN Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa dilahirkan pada 21 Oktober 1924 di No 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan, Perak. Beliau adalah bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM). Perjuangan revolusi (bersenjata) yang didokongnya banyak menumpahkan darah.
Tidak sedikit air mata yang mengalir, penderitaan, kesedihan, ketakutan dan trauma yang mendalam dialami rakyat akibat kekejaman komunis ketika zaman Darurat (1948-1960). Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan di estet getah seluruh negara berdepan dengan ancaman nyawa, harta benda dan tanaman mereka dimusnahkan.
Pastinya perajurit tanah air yang berjuang menentang komunis tidak dapat melupakan kezaliman dan kekejaman komunis. Selagi hayat dikandung badan, maka segala pengalaman itu tetap menjadi kenangan pahit buat mereka.

Manja Mohd Ludin dalam buku Psikologi Sosiologi dan Falsafah Dalam Pendidikan (DBP, 1990) mencatat seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 cedera. Ramai perajurit yang cacat kerana bertempur dengan komunis masih hidup hingga kini. Di kalangan orang awam pula, sebanyak 2,473 terbunuh , 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis.
Kematian pihak gerila komunis adalah 6,710 dan yang ditawan seramai 3,989 orang. Elok rasanya kita menyingkap sekelumit sejarah pergerakan komunis di negara kita. Ideologi komunis mula menyerap masuk ke Tanah Melayu pada 1920-an. Melalui Biro Timur Jauh, ejen komunis antarabangsa (Comintern), terutama dari China dan Russia berjaya mempengaruhi kebanyakan pertubuhan buruh, kesatuan sosialis dan kesatuan pengguna yang kebanyakannya dianggotai kaum Cina.
Bahan penerbitan komunis seperti surat berita keluaran Rosita dan Delta News Agency, buku dan risalah komunis dari China dan Russia mempengaruhi kebanyakan orang Cina. Buku berjudul Komunisme dan Negeri China karangan Fung Tsz You adalah di antara buku yang dibaca.

Kelas malam yang wujud di Kuala Lumpur turut dijadikan markas penyebaran fahaman komunis. Pada Mei 1926, Kesatuan Sekerja Am Nanyang ditubuhkan di bawah pengaruh Communist International Trade Union Organisation (Profintern).
General Labour Trade Union’ di Singapura turut dipengaruhi komunis. Kedua-duanya mendalangi beberapa siri mogok sekitar 1920-an. Pada 1928 Parti Komunis Nanyang ditubuhkan dengan sayap utamanya Liga Anti Imperialis Nanyang. Akhirnya, atas arahan Commintern, maka PKM ditubuhkan pada 1930 menggantikan Parti Komunis Nanyang. Sayap pemudanya dikenali sebagai Malayan Communist Youth. Pada 1935, pemogokan pekerja didalangi komunis berlaku di Singapura dan Kuala Lumpur.
Ia menjadi serius pada 1937 apabila buruh estet getah dan bijih turut mogok menyebabkan ekonomi negara terancam. British di Tanah Melayu melaksanakan ‘Punishment Ordinance’ dengan menangkap pemimpin kesatuan buruh yang disyaki sebagai aktivis komunis. Namun, mereka terus berarak dan berdemonstrasi di Kuala Lumpur dan keadaan menjadi serius apabila buruh lombong arang batu di Batu Arang merampas lombong serta mengawal pengurusannya.
Ia akhirnya memaksa majikan bersetuju menerima beberapa tuntutan mereka seperti kenaikan gaji, syarat bekerja yang lebih baik dan kemudahan pekerja yang sewajarnya. Ketika Jepun menawan Tanah Melayu, PKM turut bangkit menentang Jepun menyebabkan British mengiktirafnya sebagai pertubuhan yang sah (1945-1948).

Sentimen anti-Jepun di kalangan orang Cina dan PKM mendorong mereka menubuhkan Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk menentang Jepun. Selepas tamatnya perang (16 Ogos 1945), MPAJA atau dikenali sebagai Bintang Tiga menguasai negara selama 14 hari dengan melakukan pelbagai kezaliman dan kekejaman.
Apabila British kembali pada awal September 1945 dan mengharamkan MPAJA, maka ahlinya menganggotai Old Comrades Association yang ditubuhkan akhir 1945. Di antara 1946-1947 terdapat hampir 300 pemogokan didalangi komunis. Pada 1947, Chin Peng dilantik menjadi Setiausaha Agung PKM. Beliau tertarik dengan pendekatan revolusi komunis di China pimpinan Mao Zedong. Pada 1948, PKM mengangkat senjata menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu menyebabkan British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960).
Perjuangannya bersarang di hutan belantara dengan melakukan serangan hendap serta menggunakan kaedah perangkap samar yang mengorbankan banyak nyawa dan kecacatan. Pada 1955, Chin Peng menolak perjanjian Damai Baling dan meneruskan perjuangan bersenjata dengan berselindung di sebalik nama Pembebasan Nasional Malaya (TPNM). Pada November 1957 Persidangan International Communist Movement di Moscow mengiktiraf PKM sebagai parti komunis yang mewakili pertubuhan komunis antarabangsa di Tanah Melayu. Wakil PKM yang hadir dalam persidangan itu ialah Siu Cheong dan Musa Ahmad.
Nama seperti Rashid Maidin, Musa Ahmad, Abdullah CD, Abu Samah Mohd Kassim, Shamsiah Fakeh, Ahmad Baki, Ali Majid dan Abdul Rahman membawa kita kepada persoalan mengenai pembabitan orang Melayu dalam perjuangan fahaman kiri ini. Untuk mempengaruhi orang Melayu, komunis menerbit dan menyebarkan risalah dalam bahasa Melayu seperti Suara Boeroeh Malaya dan Ingatan. Mereka juga menubuhkan Jawatankuasa Tempatan Komunis dan Liga Anti-Imperialis. Aktivis Parti Komunis Indonesia (PKI) juga digunakan untuk meraih sokongan orang Melayu dan orang Jawa di beberapa negeri.
Apabila pemberontakan PKI (1926) gagal, ramai tokoh ternamanya seperti Tan Malaka, Hasanoesi, Alimen, Sutan Pateh, Moeso, dan Boedisoejitro melarikan diri ke Singapura dan Pulau Pinang. Wakil PKM iaitu Rashid Maidin pernah hadir dalam persidangan Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) di Maahad II Ihya As-Syarif, Gunung Semanggol pada Mac 1947.
Beliau cuba membangkitkan semangat orang Melayu supaya menentang British melalui kekerasan tetapi usahanya gagal kerana ulama menolak perjuangan mereka. Sekitar 1960-an, masih wujud usaha mempengaruhi orang Melayu melalui penubuhan beberapa sekolah tajaan komunis untuk orang Melayu tetapi gagal. Sekitar 1970-an, terdapat dua siri pembunuhan dilakukan oleh ejen komunis ke atas pegawai tertinggi Polis Di-Raja Malaysia iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim (1974) dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong (1975). Tugu Negara juga turut dibom pada 1975.
Komunis meletakkan senjata selepas diadakan Majlis Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Haadyai, Thailand pada 1 Disember 1989. Kesimpulannya, perjuangan komunis gagal kerana ia tidak mendapat sokongan orang Melayu yang berakidah Islam. Perjuangan komunis bukanlah satu sumbangan kemerdekaan tanah air kerana cita-cita PKM mahu membentuk sebuah Republik Komunis Tanah Melayu adalah satu bentuk penjajahan baru yang tidak dapat diterima sama sekali, khususnya di kalangan orang Melayu beragama Islam. Justeru, wajarkah satu perjuangan songsang diberi pengiktirafan di negara ini?

Sunday, May 31, 2009

'Bawa Balik Chin Peng Menghina Kami'

GARIS kedutan halus di wajahnya menyimpan pelbagai kisah kehidupan. Sesekali, pandangannya terpaku ke kaki palsu yang menjadi penyambung langkah sejak hampir suku abad lalu. Putaran kipas siling di ruang tamu rumahnya seakan-akan membawa Onjining @ Christopher Jopinol, 52, mengimbau pengalaman berjuang mempertahankan tanah air memburu musuh negara - Parti Komunis Malaya (PKM) di sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1978 ketika berusia 21 tahun. Sangka anak muda itu, beliau pasti menghabiskan masa beberapa tahun mendalami selok-belok menjadi anggota tentera sebelum keluar ke dunia sebenar. "Belum pun sampai setahun, saya dikerah memasuki hutan untuk menyertai operasi memburu komunis bersama anggota senior yang lain.

"Saya ingat lagi Pegawai Pemerintah Pasukan 9 Renjer ketika itu mengatakan saya sebenarnya belum layak masuk hutan kerana masih terlalu baru dalam ATM.

"Memang betul pun, tetapi tiada pilihan kerana kerajaan mengarahkan ATM meningkatkan operasi membanteras ancaman komunis di sempadan tanah air," katanya pada pertemuan dengan Berita Minggu di kediamannya di Putatan, dekat Kota Kinabalu, baru-baru ini. Onjining disenaraikan untuk menyertai operasi Pasukan 9 Renjer Kem Oran di Kangar, Perlis selama sembilan tahun berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata, tempoh tiga bulan yang ditetapkan kepada setiap platun yang beroperasi di kawasan sempadan boleh dipanjangkan sehingga lebih empat bulan berikutan faktor keselamatan. Katanya, keadaan itu biasanya berlaku apabila helikopter sukar mendarat berikutan ancaman serang hendap komunis dan faktor cuaca buruk.

"Apabila jadi begitu, kami berdepan masalah kekurangan makanan dan terpaksalah ikat perut. Malah dengan kawan-kawan pun kami perlu bersikap `kedekut' tetapi semuanya saling memahami,” katanya. Takdir menentukan, semangat membara anak Sabah yang sanggup merentasi Laut China Selatan atas kecintaan terhadap tanah airnya, berakhir dengan titisan darah di bumi bertuah. Pada Jun 1985, Onjining menyertai operasi memburu komunis di kawasan hutan tebal di Gubir, Kedah.

"Seperti biasa, kami bergerak secara berkumpulan dan saya bersama beberapa rakan menyusuri anak sungai. "Ketika berjalan, saya terpijak jerangkap samar yang ditanam berhampiran anak sungai itu. Segala-galanya berlaku terlalu pantas dan saya tidak sempat berbuat apa-apa. Apa yang ingat ialah jerangkap samar itu meletup.

"Apabila sedar, tapak kaki kanan saya hancur. Berikutan kejadian itu, saya dirawat di Hospital Pulau Pinang selama tiga bulan dan kaki saya terpaksa dipotong ke paras betis. "Selepas sembuh, saya diberi kaki palsu untuk memudahkan berjalan. Mula-mula memanglah kekok tetapi lama-kelamaan jadi biasa," katanya.

Empat lagi rakannya dari Sabah dan lima dari Semenanjung yang sama-sama berkhidmat dalam Pasukan 9 Renjer dari akhir 1970-an hingga pertengahan 1980-an turut menjadi mangsa jerangkap samar komunis. Seperkara yang masih berbekam di ingatan Onjining ialah kejadian rakan karibnya, Henry Ubung dari Sarawak terkorban akibat tembakan musuh ketika bertempur dengan komunis dalam operasi di sempadan pada awal 1980-an.

"Dia rebah betul-betul di depan mata saya," katanya. Perbualan kami terhenti seketika, mungkin ada imbasan kenangan yang singgah dalam pemikirannya. Selain operasi dalam kawasan negara, beliau juga pernah menyertai operasi bersama tentera Thailand di hutan berhampiran sempadan bagi mengesan komunis.

Beliau berkata, platunnya pernah terserempak komunis ketika melakukan serang hendap di kawasan terbabit. "Nasib baik ketika itu tidak ada anggota platun kami cedera, cuma seorang anggota tentera Thailand terkena peluru komunis," katanya.

Matanya bersinar apabila dibangkitkan desas-desus ada pihak mahu membawa bekas pemimpin PKM, Chin Peng, yang kini hidup dalam buangan di selatan Thailand untuk kembali ke tanah air. Sambil menyifatkan percubaan itu sebagai penghinaan terhadap golongan veteran ATM yang bermati-matian mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman komunis, Onjining tegas bersuara menentang keras usaha itu.

"Mana maruah kami jika Chin Peng dibenarkan kembali? Dulu kami dikerah memburu komunis yang mengancam keamanan negara. "Sekarang, ada pula yang cuba membawa balik Chin Peng? Rakan kami terkorban, keadaan fizikal kami tidak sama seperti dulu... semuanya gara-gara khianat komunis. "Orang seperti Chin Peng tidak layak menjejakkan kaki di bumi bertuah ini walau seinci sekalipun," katanya.

Kebenciannya terhadap komunis bukan dibuat-buat. Bagi Onjining, segala-galanya bagaikan baru semalam berlaku dan tidak mungkin dapat dihakis daripada ingatan selagi hayat dikandung badan. Tanggal 2 Disember ini menandakan genap 20 tahun usia perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dan PKM yang dimeterai di Haadyai, Thailand sebagai tanda berakhirnya perjuangan parti itu dalam operasi ketenteraan di negara ini.

Ia bermakna sepanjang dua dekad lalu, tiada lagi operasi ketenteraan memerangi komunis di hutan sempadan Malaysia-Thailand. Dalam tempoh sama juga, perbincangan mengenai keselamatan negara yang berkaitan ancaman komunis tidak lagi diadakan atas keyakinan semua saki-baki komunis sudah menyerah diri menerusi Perjanjian Haadyai.

Bagi menghargai jasa Onjining dalam ATM, beliau dianugerahkan Pingat Jasa Negara (PJM) yang disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Datuk Zulkiflee Mazlan pada satu majlis di Kota Kinabalu, baru-baru ini. Bersara daripada ATM pada 1999 selepas berkhidmat selama 21 tahun, pejuang negara itu cuma melakukan kerja ringan di rumah berikutan pergerakannya agak terbatas.

"Saya bergantung kepada wang pencen RM808 dan wang bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak RM224 sebulan bagi menanggung isteri dan enam anak. "Ya, saya sudah bersara tetapi semangat saya tidak padam. Pandangan saya terhadap komunis hari ini sama seperti pada hari pertama saya melapor diri sebagai anggota tentera. "Pengkhianat seperti Chin Peng tidak layak menjejakkan kakinya ke bumi Malaysia - tanah air yang saya pertahankan dengan titisan darah, keringat dan air mata," katanya.

'Darah Berderau Dengar Usaha Bawa Balik Chin Peng'

Berderau darah makcik apabila mendengar usaha membawa Chin Peng pulang selepas mengenang 25 ahli keluarga, termasuk abang kandung sendiri terbunuh dan hilang disebabkan kekejaman komunis," kata pesara guru, Izon Kamaluddin, 72, semalam. Katanya, beliau sudah berjanji dengan arwah ibu, Che Pah Md Bidin dan kakak mahu melupakan peristiwa 63 tahun lalu di Kampung Layang-Layang Kiri, Parit, Perak serta reda dengan kehilangan dan kematian ramai anggota keluarga.

Saya tidak pernah bercerita mengenai kekejaman komunis atau dikenali Bintang Tiga kepada sesiapa pun, termasuk kepada suami, Ahmad Ismail, selepas berpindah dari Parit kerana sayu mengenangkannya. "Tetapi apabila mendengar berita Chin Peng, pemimpin kanan Parti Komunis Malaya (PKM) ingin dibawa pulang ke Malaysia.. ingatan makcik kembali segar mengenang peristiwa di Kampung Layang-Layang Kiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Pauh, dekat sini, semalam.

Izon berkata, seramai 14 orang anggota keluarganya, termasuk dua sepupu, Mohd Sharif dan Mohd Sidik serta dua bapa saudara dibunuh pasukan Bintang Tiga yang ketika itu sedang giat merekrut penduduk kampung.

Katanya, seramai 11 lagi hilang, termasuk abangnya, Abdul Rahman yang ketika itu berusia 21 tahun dan baru bertunang. Abdul Rahman sehingga sekarang tidak diketahui hidup atau mati. Mayat kesemua 14 anggota keluarganya yang diculik itu ditemui di dalam sungai Perak berhampiran Kampung Layang-Layang Kiri dan mereka dibunuh kerana tidak mahu bekerjasama dengan komunis.

"Ingatan makcik masih jelas peristiwa petang Jumaat pada 1946 ketika berusia sembilan tahun, sekumpulan ahli Bintang Tiga datang ke rumah menculik Abdul Rahman dan arwah bapa, Kamaluddin Noh, bagaimanapun bapa melepaskan diri," katanya. Beliau yang masih bergiat aktif dalam Perkim Perlis berkata, setiap hari ada mayat penduduk kampung ditemui hanyut di Sungai Perak berikutan kekejaman komunis

Pembangkang Sokong Chin Peng Memalukan

Sikap pembangkang di negara ini yang cuba menongkah kehendak rakyat dengan bersetuju agar pemimpin komunis, Chin Peng dibenarkan pulang disifatkan sebagai memalukan, tidak sensitif dan hanya bermotifkan politik.

Ketua Penerangan MIC, Datuk M. Saravanan berkata, pemimpin pembangkang tidak memikirkan langsung perasaan anggota keluarga para perajurit yang terkorban ketika menentang kekejaman komunis dahulu.

“Apakah ini penghormatan (membenarkan Chin Peng pulang) yang ingin kita berikan kepada para perajurit yang terkorban,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan pemimpin tiga parti pembangkang yang meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali ke negara ini.

Mereka ialah Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustafa Kamil Ayub dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw.

Umumnya, ketiga-tiga pemimpin berkenaan menerima idea membenarkan Chin Peng pulang asalkan pemimpin komunis itu sudah berubah dan tidak lagi mendukung ideologi komunisme.
Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berkata, tidak ada istilah berubah dalam membicarakan mengenai Chin Peng.

“Dia memegang ideologi dan fahaman komunis dari muda lagi, sekali komunis akan terus komunis,” katanya.

Beliau berkata, wujud persoalan apa sebenarnya yang penting sehingga mahu membenarkan Chin Peng kembali ke negara ini.

Jangan Angkat Pemberontak Sebagai Hero

Jangan angkat pemberontak sebagai hero kerana mereka merupakan punca kepada penderitaan rakyat, tegas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Menurut beliau, tindakan segelintir pihak mengangkat pemberontak sebagai hero merupakan perkembangan yang tidak sihat di negara ini.

''Tidak sepatutnya kita membela kumpulan pengganas atau pemberontak sama ada di dalam atau pun luar negara kerana ini hanya akan menjejaskan kestabilan dan mengancam keselamatan negara,'' katanya.

Beliau mengulas tindakan World Tamil Relief (WTR) yang menjadikan negara sebagai pentas melahirkan rasa simpati kepada Kumpulan Pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Katanya, tindakan berkumpul dan melanggar arahan polis serta mengabaikan undang-undang boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni kepada negara.
Dalam pada itu, Rosnah turut menyelar usaha pihak tertentu untuk membawa pulang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng

''Sepatutnya kita mengangkat pejuang-pejuang negara yang berjuang menentang PKM sebagai hero dan bukannya mengangkat pemberontak seperti Chin Peng yang melakukan banyak kekejaman.

''Tindakan golongan ini yang menyokong kumpulan pengganas dan pemberontak sehingga sanggup mengabaikan undang-undang negara merupakan perbuatan tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip negara kita,'' tegasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mustafa Latif berkata, isu-isu seperti Hindraf, demonstrasi berkaitan LTTE dan usaha membawa pulang Chin Peng memberi gambaran bahawa terdapat pihak yang cuba mengugat keamanan dan kestabilan negara.

''Tindakan golongan ini, jika tidak dibendung dari awal dikhuatiri akan membawa kemusnahan kepada kesejahteraan rakyat,'' katanya

''Justeru, kami menyokong tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia demi menjaga hati kaum keluarga pejuang yang terkorban akibat kekejaman PKM,'' katanya dalam satu kenyataan.

Hak asasi bukan hujah izin Chin Peng pulang

Pertimbangan hak asasi tidak boleh digunakan sebagai hujah untuk menghalalkan kepulangan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, perkara itu adalah adil kerana Chin Peng dan penganut ideologi komunis tidak pernah mengiktiraf hak asasi manusia dalam perjuangannya.

Katanya, Chin Peng selaku penjenayah perang yang hampir menjerumuskan negara ke kancah kehancuran mesti dianggap sebagai pengkhianat selama-lamanya.

"Perjuangan komunis bukannya untuk mendaulatkan hak asasi kerana ia tidak pernah wujud dalam sistem mereka.

"Sebaliknya merekalah puak yang telah menindas hak asasi sehingga menyebabkan rakyat menderita, jadi kenapa bila dia nak kembali kita perlu menggunakan pertimbangan hak asasi," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan menyarankan kepada kerajaan agar membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia atas dasar kemanusiaan.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dengan tegas menolak perkara itu kerana ia akan menimbulkan perasan tidak puas hati rakyat negara ini yang masih tidak dapat melupakan keganasan komunis.

Mohamad Mustapha turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang cuba menggambarkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan negara dengan cara tersendiri.

Katanya, golongan yang tidak melihat Chin Peng dan pengikutnya dari perspektif yang betul adalah pihak yang tidak menghargai sejarah pembinaan negara.

"Kita kena tahu membezakan pengkhianat negara dengan pejuang kemerdekaan tulen.
"Perjuangan mereka adalah untuk membebaskan negara dari cengkaman British untuk dijadikan salah satu wilayah naungan kerajaan komunis di China, bukannya memerdekakan negara," tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang meminta generasi muda supaya tidak melupakan detik hitam yang pernah menghantui negara berikutan tindak-tanduk komunis walaupun ia telah lama berlalu.

Katanya, usaha untuk menghidupkan semula semangat perjuangan komunis di negara ini tidak wajar dibiarkan berleluasa kerana ia mendedahkan negara kepada kehancuran.

"Jangan kita lupa usaha PKM yang berniat mengambil alih tampuk pemerintahan dan menjadikan Malaysia sebagai negara komunis melalui kekerasan yang meragut ribuan nyawa rakyat berbilang bangsa," katanya.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Tajudin Ahmad mengingatkan semua pihak supaya tidak buta sejarah apabila memperkatakan mengenai komunis.

Katanya, golongan belia juga perlu berwaspada supaya tidak terpengaruh dengan gerakan menghidupkan semula fahaman komunis bagi mengelakkan mereka menyesal di kemudian hari.
"Titisan darah pasukan keselamatan negara dan rakyat yang menjadi mangsa komunis tidak boleh kita 'halalkan' sampai bila-bila," katanya.

'Tidak Harus Dibenarkan Pulang'

Keganasan komunis terhadap rakyat negara ini memang tidak dapat digambarkan dan mengundang nostalgia cukup pahit.

Kekejaman pengganas itu bukan sahaja mengundang kemarahan bekas anggota keselamatan apabila ada pihak berusaha membawa pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke negara ini malah turut ditentang salah seorang bekas penolong ketua pergerakan itu di Kampung Belum, Hulu Perak.

Mohamad Wan Kechik (gambar), 84, ketika ditemui pemberita di Kampung Baru Belum berkata, pemimpin komunis tersebut tidak harus dibenarkan pulang kerana pergerakan gerila itu pernah berlaku kejam terhadap rakyat.

''Walaupun saya bekas anggota komunis, saya tetap tidak setuju Chin Peng pulang ke Malaysia kerana dia pernah menyusahkan penduduk Kampung Belum ini.

''Bukan saya hendak puji komunis, dia memang baik dengan orang yang ikut cakap dia tetapi akan jadi betul-betul jahat terhadap orang yang melawan," katanya.

Kampung Baru Belum yang mempunyai lebih 150 buah rumah itu merupakan kawasan penempatan yang disediakan pemerintah British bagi membendung gerakan komunis pada 1948.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sidek Ishak, 71, berkata, semasa komunis menguasai kawasan Belum selama tiga tahun bermula 1948, dia dapat melihat hukuman bunuh di khalayak ramai oleh pemberontak tersebut.

Katanya, kekejaman komunis itu sangat ketara kerana mereka tidak mahu menembak mangsa malah lebih suka menikam dengan senjata tajam bagi menyiksa mangsa berkenaan.

''Kalau komunis hendak bunuh orang, mereka akan panggil penduduk kampung makan daging lembu beramai-ramai. Rupa-rupanya apabila habis makan, komunis hendak buat pertunjukkan membunuh mangsa supaya orang kampung berasa takut.

''Dalam ceramah komunis dahulu, mereka memang hendak menguasai Malaya satu hari nanti, jadi ideologi itu tidak boleh dibiarkan kerana komunis tidak ada agama, kita ini orang Islam," katanya.

Seorang lagi penduduk, Isa Awang Ngah, 82, memberitahu, penduduk kampung akan diseksa secukupnya jika tidak bekerjasama dengan komunis.

Jelasnya, penduduk kampung terpaksa memberi apa sahaja bentuk makanan seperti beras, padi dan jagung kepada komunis bagi mengelak daripada diseksa.

''Komunis ini memang baik kalau kita baru kenal tetapi sebenarnya sangat jahat dan tidak boleh dipercayai. Kalau dia bagi duit sekupang dia akan minta balik RM1 daripada kita.

''Jadi kalau ada orang nak bagi Chin Peng balik, saya sangat tidak bersetuju. Saya tidak sanggup lagi berdepan komunis. Oleh kerana komunislah saya terpaksa tinggal di kampung ini," katanya

PBTM Pahang sedia kerah ahli

Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Pahang akan menggerakkan ahlinya untuk menentang pihak-pihak yang cuba membawa pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke negara ini.

Yang Dipertua PBTM Pahang, Isa Abu Bakar, 72, berkata, pihaknya tidak rela pemimpin komunis yang telah mengorbankan banyak nyawa dan mendatangkan kemusnahan kepada negara, diberikan pengampunan apatah lagi dibawa pulang.

"Darurat angkara komunis masih kami kenang, begitu juga dengan anggota yang terkorban angkara tindak-tanduk mereka. Kami tidak rela dan tidak reda dia dibawa pulang," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau yang pernah berkhidmat di Mentakab ketika zaman darurat berkata, gesaan pihak tertentu untuk membawa pulang Chin Peng menunjukkan mereka mempunyai agenda dan niat tidak baik kepada negara ini dan perlu ditentang habis-habisan.

Isa turut menempelak generasi muda yang seolah-olah lupa sejarah dan kekejaman PKM ke atas ibu bapa serta datuk nenek mereka sehingga sanggup menyokong tindak-tanduk pihak tertentu hendak membawa pulang pemimpin komunis itu.

Pemikad Bantah Usaha Bawa Pulang

Pertubuhan Perpaduan Melayu Kedah (Pemikad) membantah sebarang usaha untuk membawa pulang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini.

Yang Dipertuanya, Abdul Ghani Mehat memberitahu, pemimpin PKM sendiri telah menutup 'pintu' ketika mereka dipelawa untuk hidup secara aman dan harmoni bersama rakyat Malaysia oleh pemimpin negara terdahulu termasuk Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

''Malah sebelum ini, kerajaan bersikap adil apabila menerima ramai anggota PKM yang menyerah diri termasuk menawarkan pekerjaan tetapi pemimpin seperti Chin Peng mengambil keputusan sebaliknya iaitu menentang kerajaan.

''Jadi, kenapa hendak dipertikaikan lagi apabila peraturan tidak membenarkan mereka berada di negara ini atas sebab-sebab kedegilan di samping kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat dan juga anggota pasukan keselamatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Opah Simah Tidak Dapat Lupa Dipaksa Hidup Bersama Komunis

''Selama 52 tahun hidup bersama komunis, hati saya tidak pernah tenteram. Hari ini, saya rasa macam mati hidup semula."

Bagi Rosimah Alang Mat Yen, 84, tiada kata-kata lain yang dapat diucapkan selain perasaan gembira dan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Esa kerana memberinya peluang untuk kembali ke jalan yang diredai.

Menurut Rosimah yang lebih mesra dipanggil Opah Simah, dia tidak dapat melupakan sedetik pun sejarah lampaunya yang dipaksa hidup bersama komunis.

Mengimbau kisah lalu, Opah Simah berkata, ketika kejadian, dia yang baru berusia 17 tahun, telah keluar kampung bersama enam lagi rakannya untuk mencari makanan berikutan waktu itu adalah zaman penjajahan Jepun.

''Ketika menuai padi di Changkat Cermin dekat Manjung, datang sekumpulan komunis menangkap kami. Kawan-kawan yang cuba lari semua ditembak komunis. Saya selamat sebab pengsan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Bakong di sini.
Dia kemudian dibawa pulang oleh seorang daripada anggota komunis tersebut dan dijadikan anak angkat dengan ditukar nama menjadi Teng Seng Hua.

Tidak lama kemudian, katanya, ibu dan bapa angkatnya itu jatuh sakit dan sebelum meninggal dunia telah memaksa Opah Simah berkahwin dengan seorang anggota komunis lain.
''Waktu itu saya sudah berkahwin dengan pemuda kampung tetapi tidak ada anak lagi dan disebabkan takut serta tidak ada pilihan lain, saya akhirnya terpaksa ikut cakap mereka dan berkahwin lagi," katanya.

Kata Opah Simah, dia tidak berani melarikan diri dari rumah keluarga angkatnya kerana tidak tahu di mana dia berada ketika itu.

''Pernah juga ada anak angkat lain cuba melarikan diri, tetapi tidak sempat sebab kena tembak. Saya takut kalau-kalau saya pun ditembak," ujarnya.

Selama itu juga, dia tidak lagi menjalani kehidupan dan mengamalkan budaya sebagai seorang Melayu dan Islam.

Kata Opah Simah, walaupun melihat sendiri kekejaman komunis, dia bernasib baik kerana akhirnya dapat pulang ke pangkuan keluarga yang dirindui.

''Ingatan untuk bersama keluarga sendiri makin kuat setelah suami meninggal dunia. Sejak itu, saya 'curi-curi' keluar dan bertemu dengan orang kampung hingga akhirnya dapat mencari semula saudara-mara," katanya.

Opah Simah akhirnya kembali memeluk Islam dengan bantuan penduduk kampung dengan nama Si Ma Teng Abdullah dan menetap di Kampung Teluk Bakong sejak 15 tahun lalu.
Sementara itu, anak saudara Opah Simah, Youp Din Mat Selidin, 62, berkata, dia amat gembira dengan kepulangan ibu saudaranya yang dicari selama ini.

''Kami hampir putus asa tetapi bersyukur kerana Tuhan masih menemukan kami," katanya yang juga Imam Masjid Kampung Teluk Bakong.

Bagaimanapun, katanya, dia agak kecewa kerana belum berjaya untuk menukarkan kembali nama ibu saudaranya itu ke nama asalnya iaitu Rosimah.

''Saya pernah dua kali ke Pejabat Pendaftaran di Bota untuk menukar nama tetapi masih belum berjaya kerana terlalu banyak kerenah birokrasi.

''Mereka hendak saya bawa beberapa orang saksi sedangkan kebanyakan saudara-mara yang hidup waktu itu telah meninggal dunia ," katanya.

Penduduk Kampung Hidup Sengsara Kerana Komunis

"Usah bawa balik pemimpin yang pernah mengancam nyawa kami dan keluarga."
Begitu luahan penduduk yang pernah melihat kekejaman pengganas komunis di daerah ini suatu ketika dahulu.

Rata-rata mereka membantah keras cadangan Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan supaya kerajaan membenarkan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kembali ke tanah air.

Menurut mereka, kezaliman pengganas komunis menyebabkan penduduk kampung hidup sengsara kerana takut untuk keluar menoreh dan mencari rezeki sehingga membuatkan perasaan benci terhadap PKM masih terbuku di hati.

Seorang daripadanya ialah penoreh getah, Che Ri Abdul Rahman dari Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong dekat sini yang sehingga hari ini tidak dapat melupakan pengalaman bersama penduduk kampung ketika berdepan pengganas komunis di daerah ini sekitar tahun 70-an dan 80an.

Che Ri, 70, berkata, pengalamannya dan keluarga berdepan dengan kekejaman komunis suatu ketika dulu sudah cukup untuk menyedarkan dirinya bahawa perbuatan tidak berperikemanusiaan itu tidak boleh dimaafkan.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, dia pernah ditembak pengganas komunis sebanyak tiga kali tetapi bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.

"Setiap kali pergi menoreh, saya akan terserempak dengan pengganas komunis sehingga hampir mati akibat ditembak," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong dekat sini hari ini.

Malah katanya, pernah pada suatu pagi semasa menghantar salah seorang anaknya ke sekolah, dia nyaris menemui ajal akibat tembakan anggota komunis.

Tambah bapa kepada lima anak itu, pernah satu ketika, dia telah didatangi 10 pengganas komunis termasuk dua wanita yang memintanya memaklumkan mengenai kehadiran mereka di kawasan tersebut kepada anggota tentera.

"Rupa-rupanya pihak komunis mahu saya memberitahu pasukan keselamatan mengenai kehadiran mereka di kawasan berkenaan untuk memerangkap mereka kerana lima jerangkap samar telah dipasang.

"Mujurlah saya balik dan memberitahu seorang saudara yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak keselamatan yang telah maklum mengenai helah anggota komunis terbabit," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan kejam anggota-anggota komunis itu tidak akan dilupakan sehingga ke akhir hayat dan usaha membawa balik pemimpinnya merupakan satu tindakan keterlaluan dan tidak wajar.

Sementara itu, bekas anggota tentera, Ismail Abdul Rahman, 58, juga kecewa dengan hasrat pihak tertentu mahu membawa balik pemimpin yang pernah merosakkan keamanan negara suatu ketika dahulu.

Perangi Ideologi Komunisme Habis-habisan

Rakyat perlu menentang habis-habisan usaha menghidupkan kembali ideologi komunisme kerana ia dikhuatiri boleh mempengaruhi generasi muda untuk bertindak ganas dan memberontak.

Bekas anggota tentera, Koperal Paulnyopis Noyeb, 69, berkata, tindakan menghidupkan ideologi tersebut hanya bertujuan membangkitkan perasaan benci terhadap kerajaan.

Beliau yang pernah bertugas dalam askar British pada tahun 1963 hingga 1966 memberitahu, kerajaan harus bertindak tegas dalam isu tersebut bahkan mereka yang cuba membangkitkan perkara itu tidak layak untuk menjadi warganegara Malaysia.

''Mereka yang tidak sedar diri ini adalah pengkhianat bangsa dan negara, maka petualang seumpama ini harus keluar dari negara ini.

''Saya sendiri tidak merestui malah tidak ada sekelumit pun perasaan untuk memaafkan perbuatan komunis apatah lagi untuk membenarkan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng menjejakkan kaki ke negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Satok di sini dan turut hadir, Pengarah JHEV Cawangan Sarawak, Mejar Monday Juhid.

Noyeb turut melahirkan kebimbangannya terhadap situasi negara ketika ini kerana kerap dilihat berlaku demonstrasi jalanan yang disifatkannya antara bibit-bibit ideologi komunis ketika menentang kerajaan pada zaman dahulu.

Katanya, kewujudan ideologi komunisme akan menyebabkan segala yang rakyat nikmati di samping perpaduan yang kukuh selama ini akan hilang dalam sekelip mata.

Tambahnya, rakyat yang cuba membangkitkan ideologi komunisme itu langsung tidak sensitif terhadap perasaan rakyat yang hidup menderita berpuluh-puluh tahun kesan daripada pertempuran dengan anggota komunis.

''Saya terkejut dan tidak menyangka ada pihak sanggup membela nasib pejuang komunis itu sedangkan kami yang hidup menderita malah ada yang cacat anggota kerana mempertahankan tanah air dipinggirkan.

''Membela komunis bermakna dia seorang komunis dan mereka harus dinyahkan dari muka bumi Malaysia ini," katanya.

Jangan Benar Chin Peng Pijak Bumi Malaysia

''Kalau boleh, saya akan minta orang buat jerangkap samar seperti yang saya kena dulu dan masukkan Chin Peng ke dalamnya biar berkecai tubuh badannya sehingga tiada secebis daging pun yang tinggal."

Begitulah marahnya bekas anggota Rejimen Askar Melayu, Suparman Taib, 55, yang pernah berjuang menentang pengganas komunis sekitar tahun 1980-an dulu apabila mengetahui ada pihak yang beria-ia mahu membawa balik bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu ke negara ini.

Suparman kehilangan kaki kirinya dan cedera parah di kaki kanannya akibat terkena jerangkap samar yang dipasang komunis semasa melakukan Ops Bersih di Kampung Lalang, Kelian Intan dekat Keroh di Gerik pada 21 April 1981 semasa berusia 25 tahun.

Menurut bapa kepada sembilan anak itu, walaupun tidak pernah berdendam dengan komunis atas apa yang berlaku kepada dirinya itu, dia tidak dapat memaafkan cara komunis membunuh anggota keselamatan dan orang kampung dengan kejam.

''Paling tidak dapat dilupakan ialah peristiwa anak-anak buah saya terkorban apabila trak dinaiki mereka diserang hendap komunis.
''Semasa ditemui, bukan saja telinga dikerat, alat kemaluan mereka juga dipotong dan disumbatkan ke dalam mulut," katanya.

Sebab itulah, kata Suparman, Chin Peng tidak boleh dibenarkan menjejak kakinya ke Malaysia dan patut dibiarkan mati di luar negara.

Dia turut melahirkan kebimbangan wujud usaha pihak tertentu untuk menghidupkan semula ideologi komunisme di negara ini sehingga boleh menyebabkan peristiwa berdarah seperti 13 Mei 1969 berulang.

''Orang kena faham, walaupun komunis telah berdamai dengan kerajaan, mereka tidak menyerahkan senjata dan menyimpannya di tempat lain.

''Saya hendak tanya berapa ramai anggota PKM yang mempunyai 10 kekuatan menyerahkan senjata mereka,'' katanya.

Suparman juga tidak bersetuju dengan tindakan pihak tertentu menggunakan istilah perikemanusiaan bagi mewajarkan usaha membawa balik Chin Peng.

''Kalau kita bantu orang miskin, mangsa tsunami atau bekas perajurit yang kini hidup susah selepas cacat anggota akibat kekejaman komunis, itu barulah dasar perikemanusiaan,'' katanya