Sikap pembangkang di negara ini yang cuba menongkah kehendak rakyat dengan bersetuju agar pemimpin komunis, Chin Peng dibenarkan pulang disifatkan sebagai memalukan, tidak sensitif dan hanya bermotifkan politik.
Ketua Penerangan MIC, Datuk M. Saravanan berkata, pemimpin pembangkang tidak memikirkan langsung perasaan anggota keluarga para perajurit yang terkorban ketika menentang kekejaman komunis dahulu.
“Apakah ini penghormatan (membenarkan Chin Peng pulang) yang ingin kita berikan kepada para perajurit yang terkorban,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan pemimpin tiga parti pembangkang yang meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali ke negara ini.
Mereka ialah Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustafa Kamil Ayub dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw.
Umumnya, ketiga-tiga pemimpin berkenaan menerima idea membenarkan Chin Peng pulang asalkan pemimpin komunis itu sudah berubah dan tidak lagi mendukung ideologi komunisme.
Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berkata, tidak ada istilah berubah dalam membicarakan mengenai Chin Peng.
“Dia memegang ideologi dan fahaman komunis dari muda lagi, sekali komunis akan terus komunis,” katanya.
Beliau berkata, wujud persoalan apa sebenarnya yang penting sehingga mahu membenarkan Chin Peng kembali ke negara ini.
No comments:
Post a Comment