Sunday, May 31, 2009

'Tidak Harus Dibenarkan Pulang'

Keganasan komunis terhadap rakyat negara ini memang tidak dapat digambarkan dan mengundang nostalgia cukup pahit.

Kekejaman pengganas itu bukan sahaja mengundang kemarahan bekas anggota keselamatan apabila ada pihak berusaha membawa pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke negara ini malah turut ditentang salah seorang bekas penolong ketua pergerakan itu di Kampung Belum, Hulu Perak.

Mohamad Wan Kechik (gambar), 84, ketika ditemui pemberita di Kampung Baru Belum berkata, pemimpin komunis tersebut tidak harus dibenarkan pulang kerana pergerakan gerila itu pernah berlaku kejam terhadap rakyat.

''Walaupun saya bekas anggota komunis, saya tetap tidak setuju Chin Peng pulang ke Malaysia kerana dia pernah menyusahkan penduduk Kampung Belum ini.

''Bukan saya hendak puji komunis, dia memang baik dengan orang yang ikut cakap dia tetapi akan jadi betul-betul jahat terhadap orang yang melawan," katanya.

Kampung Baru Belum yang mempunyai lebih 150 buah rumah itu merupakan kawasan penempatan yang disediakan pemerintah British bagi membendung gerakan komunis pada 1948.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sidek Ishak, 71, berkata, semasa komunis menguasai kawasan Belum selama tiga tahun bermula 1948, dia dapat melihat hukuman bunuh di khalayak ramai oleh pemberontak tersebut.

Katanya, kekejaman komunis itu sangat ketara kerana mereka tidak mahu menembak mangsa malah lebih suka menikam dengan senjata tajam bagi menyiksa mangsa berkenaan.

''Kalau komunis hendak bunuh orang, mereka akan panggil penduduk kampung makan daging lembu beramai-ramai. Rupa-rupanya apabila habis makan, komunis hendak buat pertunjukkan membunuh mangsa supaya orang kampung berasa takut.

''Dalam ceramah komunis dahulu, mereka memang hendak menguasai Malaya satu hari nanti, jadi ideologi itu tidak boleh dibiarkan kerana komunis tidak ada agama, kita ini orang Islam," katanya.

Seorang lagi penduduk, Isa Awang Ngah, 82, memberitahu, penduduk kampung akan diseksa secukupnya jika tidak bekerjasama dengan komunis.

Jelasnya, penduduk kampung terpaksa memberi apa sahaja bentuk makanan seperti beras, padi dan jagung kepada komunis bagi mengelak daripada diseksa.

''Komunis ini memang baik kalau kita baru kenal tetapi sebenarnya sangat jahat dan tidak boleh dipercayai. Kalau dia bagi duit sekupang dia akan minta balik RM1 daripada kita.

''Jadi kalau ada orang nak bagi Chin Peng balik, saya sangat tidak bersetuju. Saya tidak sanggup lagi berdepan komunis. Oleh kerana komunislah saya terpaksa tinggal di kampung ini," katanya

No comments:

Post a Comment