Sunday, May 31, 2009

Penduduk Kampung Hidup Sengsara Kerana Komunis

"Usah bawa balik pemimpin yang pernah mengancam nyawa kami dan keluarga."
Begitu luahan penduduk yang pernah melihat kekejaman pengganas komunis di daerah ini suatu ketika dahulu.

Rata-rata mereka membantah keras cadangan Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan supaya kerajaan membenarkan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kembali ke tanah air.

Menurut mereka, kezaliman pengganas komunis menyebabkan penduduk kampung hidup sengsara kerana takut untuk keluar menoreh dan mencari rezeki sehingga membuatkan perasaan benci terhadap PKM masih terbuku di hati.

Seorang daripadanya ialah penoreh getah, Che Ri Abdul Rahman dari Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong dekat sini yang sehingga hari ini tidak dapat melupakan pengalaman bersama penduduk kampung ketika berdepan pengganas komunis di daerah ini sekitar tahun 70-an dan 80an.

Che Ri, 70, berkata, pengalamannya dan keluarga berdepan dengan kekejaman komunis suatu ketika dulu sudah cukup untuk menyedarkan dirinya bahawa perbuatan tidak berperikemanusiaan itu tidak boleh dimaafkan.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, dia pernah ditembak pengganas komunis sebanyak tiga kali tetapi bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.

"Setiap kali pergi menoreh, saya akan terserempak dengan pengganas komunis sehingga hampir mati akibat ditembak," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong dekat sini hari ini.

Malah katanya, pernah pada suatu pagi semasa menghantar salah seorang anaknya ke sekolah, dia nyaris menemui ajal akibat tembakan anggota komunis.

Tambah bapa kepada lima anak itu, pernah satu ketika, dia telah didatangi 10 pengganas komunis termasuk dua wanita yang memintanya memaklumkan mengenai kehadiran mereka di kawasan tersebut kepada anggota tentera.

"Rupa-rupanya pihak komunis mahu saya memberitahu pasukan keselamatan mengenai kehadiran mereka di kawasan berkenaan untuk memerangkap mereka kerana lima jerangkap samar telah dipasang.

"Mujurlah saya balik dan memberitahu seorang saudara yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak keselamatan yang telah maklum mengenai helah anggota komunis terbabit," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan kejam anggota-anggota komunis itu tidak akan dilupakan sehingga ke akhir hayat dan usaha membawa balik pemimpinnya merupakan satu tindakan keterlaluan dan tidak wajar.

Sementara itu, bekas anggota tentera, Ismail Abdul Rahman, 58, juga kecewa dengan hasrat pihak tertentu mahu membawa balik pemimpin yang pernah merosakkan keamanan negara suatu ketika dahulu.

No comments:

Post a Comment