Sunday, May 31, 2009

Jangan Angkat Pemberontak Sebagai Hero

Jangan angkat pemberontak sebagai hero kerana mereka merupakan punca kepada penderitaan rakyat, tegas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Menurut beliau, tindakan segelintir pihak mengangkat pemberontak sebagai hero merupakan perkembangan yang tidak sihat di negara ini.

''Tidak sepatutnya kita membela kumpulan pengganas atau pemberontak sama ada di dalam atau pun luar negara kerana ini hanya akan menjejaskan kestabilan dan mengancam keselamatan negara,'' katanya.

Beliau mengulas tindakan World Tamil Relief (WTR) yang menjadikan negara sebagai pentas melahirkan rasa simpati kepada Kumpulan Pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Katanya, tindakan berkumpul dan melanggar arahan polis serta mengabaikan undang-undang boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni kepada negara.
Dalam pada itu, Rosnah turut menyelar usaha pihak tertentu untuk membawa pulang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng

''Sepatutnya kita mengangkat pejuang-pejuang negara yang berjuang menentang PKM sebagai hero dan bukannya mengangkat pemberontak seperti Chin Peng yang melakukan banyak kekejaman.

''Tindakan golongan ini yang menyokong kumpulan pengganas dan pemberontak sehingga sanggup mengabaikan undang-undang negara merupakan perbuatan tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip negara kita,'' tegasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mustafa Latif berkata, isu-isu seperti Hindraf, demonstrasi berkaitan LTTE dan usaha membawa pulang Chin Peng memberi gambaran bahawa terdapat pihak yang cuba mengugat keamanan dan kestabilan negara.

''Tindakan golongan ini, jika tidak dibendung dari awal dikhuatiri akan membawa kemusnahan kepada kesejahteraan rakyat,'' katanya

''Justeru, kami menyokong tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia demi menjaga hati kaum keluarga pejuang yang terkorban akibat kekejaman PKM,'' katanya dalam satu kenyataan.

No comments:

Post a Comment