Sunday, May 31, 2009

Opah Simah Tidak Dapat Lupa Dipaksa Hidup Bersama Komunis

''Selama 52 tahun hidup bersama komunis, hati saya tidak pernah tenteram. Hari ini, saya rasa macam mati hidup semula."

Bagi Rosimah Alang Mat Yen, 84, tiada kata-kata lain yang dapat diucapkan selain perasaan gembira dan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Esa kerana memberinya peluang untuk kembali ke jalan yang diredai.

Menurut Rosimah yang lebih mesra dipanggil Opah Simah, dia tidak dapat melupakan sedetik pun sejarah lampaunya yang dipaksa hidup bersama komunis.

Mengimbau kisah lalu, Opah Simah berkata, ketika kejadian, dia yang baru berusia 17 tahun, telah keluar kampung bersama enam lagi rakannya untuk mencari makanan berikutan waktu itu adalah zaman penjajahan Jepun.

''Ketika menuai padi di Changkat Cermin dekat Manjung, datang sekumpulan komunis menangkap kami. Kawan-kawan yang cuba lari semua ditembak komunis. Saya selamat sebab pengsan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Bakong di sini.
Dia kemudian dibawa pulang oleh seorang daripada anggota komunis tersebut dan dijadikan anak angkat dengan ditukar nama menjadi Teng Seng Hua.

Tidak lama kemudian, katanya, ibu dan bapa angkatnya itu jatuh sakit dan sebelum meninggal dunia telah memaksa Opah Simah berkahwin dengan seorang anggota komunis lain.
''Waktu itu saya sudah berkahwin dengan pemuda kampung tetapi tidak ada anak lagi dan disebabkan takut serta tidak ada pilihan lain, saya akhirnya terpaksa ikut cakap mereka dan berkahwin lagi," katanya.

Kata Opah Simah, dia tidak berani melarikan diri dari rumah keluarga angkatnya kerana tidak tahu di mana dia berada ketika itu.

''Pernah juga ada anak angkat lain cuba melarikan diri, tetapi tidak sempat sebab kena tembak. Saya takut kalau-kalau saya pun ditembak," ujarnya.

Selama itu juga, dia tidak lagi menjalani kehidupan dan mengamalkan budaya sebagai seorang Melayu dan Islam.

Kata Opah Simah, walaupun melihat sendiri kekejaman komunis, dia bernasib baik kerana akhirnya dapat pulang ke pangkuan keluarga yang dirindui.

''Ingatan untuk bersama keluarga sendiri makin kuat setelah suami meninggal dunia. Sejak itu, saya 'curi-curi' keluar dan bertemu dengan orang kampung hingga akhirnya dapat mencari semula saudara-mara," katanya.

Opah Simah akhirnya kembali memeluk Islam dengan bantuan penduduk kampung dengan nama Si Ma Teng Abdullah dan menetap di Kampung Teluk Bakong sejak 15 tahun lalu.
Sementara itu, anak saudara Opah Simah, Youp Din Mat Selidin, 62, berkata, dia amat gembira dengan kepulangan ibu saudaranya yang dicari selama ini.

''Kami hampir putus asa tetapi bersyukur kerana Tuhan masih menemukan kami," katanya yang juga Imam Masjid Kampung Teluk Bakong.

Bagaimanapun, katanya, dia agak kecewa kerana belum berjaya untuk menukarkan kembali nama ibu saudaranya itu ke nama asalnya iaitu Rosimah.

''Saya pernah dua kali ke Pejabat Pendaftaran di Bota untuk menukar nama tetapi masih belum berjaya kerana terlalu banyak kerenah birokrasi.

''Mereka hendak saya bawa beberapa orang saksi sedangkan kebanyakan saudara-mara yang hidup waktu itu telah meninggal dunia ," katanya.

No comments:

Post a Comment