Sunday, May 31, 2009

Perangi Ideologi Komunisme Habis-habisan

Rakyat perlu menentang habis-habisan usaha menghidupkan kembali ideologi komunisme kerana ia dikhuatiri boleh mempengaruhi generasi muda untuk bertindak ganas dan memberontak.

Bekas anggota tentera, Koperal Paulnyopis Noyeb, 69, berkata, tindakan menghidupkan ideologi tersebut hanya bertujuan membangkitkan perasaan benci terhadap kerajaan.

Beliau yang pernah bertugas dalam askar British pada tahun 1963 hingga 1966 memberitahu, kerajaan harus bertindak tegas dalam isu tersebut bahkan mereka yang cuba membangkitkan perkara itu tidak layak untuk menjadi warganegara Malaysia.

''Mereka yang tidak sedar diri ini adalah pengkhianat bangsa dan negara, maka petualang seumpama ini harus keluar dari negara ini.

''Saya sendiri tidak merestui malah tidak ada sekelumit pun perasaan untuk memaafkan perbuatan komunis apatah lagi untuk membenarkan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng menjejakkan kaki ke negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Satok di sini dan turut hadir, Pengarah JHEV Cawangan Sarawak, Mejar Monday Juhid.

Noyeb turut melahirkan kebimbangannya terhadap situasi negara ketika ini kerana kerap dilihat berlaku demonstrasi jalanan yang disifatkannya antara bibit-bibit ideologi komunis ketika menentang kerajaan pada zaman dahulu.

Katanya, kewujudan ideologi komunisme akan menyebabkan segala yang rakyat nikmati di samping perpaduan yang kukuh selama ini akan hilang dalam sekelip mata.

Tambahnya, rakyat yang cuba membangkitkan ideologi komunisme itu langsung tidak sensitif terhadap perasaan rakyat yang hidup menderita berpuluh-puluh tahun kesan daripada pertempuran dengan anggota komunis.

''Saya terkejut dan tidak menyangka ada pihak sanggup membela nasib pejuang komunis itu sedangkan kami yang hidup menderita malah ada yang cacat anggota kerana mempertahankan tanah air dipinggirkan.

''Membela komunis bermakna dia seorang komunis dan mereka harus dinyahkan dari muka bumi Malaysia ini," katanya.

No comments:

Post a Comment